ISTANBUL: Sekurang-kurangnya 281 pelajar dan guru terbunuh dalam serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel ke atas Iran sejak bulan lepas, lapor Anadolu Ajansi yang memetik kenyataan pegawai Iran pada Ahad.
Jumlah korban itu melibatkan 222 pelajar, empat kanak-kanak prasekolah, 48 guru, dan tujuh kakitangan pendidikan yang telah bersara, kata Ketua Pusat Penerangan dan Hubungan Awam di Kementerian Pendidikan, Hossein Sadeghi kepada agensi berita rasmi IRNA.
Beliau berkata seramai 185 pelajar dan kakitangan pendidikan turut cedera dalam serangan itu.
Sadeghi berkata serangan berkenaan telah merosakkan 789 kemudahan pentadbiran, kebudayaan, dan pendidikan, termasuk 700 sekolah, 40 bangunan pentadbiran, 30 kemudahan sukan, lima kem pelajar, dan 14 pusat kebudayaan serta pendidikan.
AS dan Israel terus melancarkan serangan udara ke atas Iran sejak 28 Feb, yang setakat ini telah mengorbankan lebih 1,340 orang termasuk Pemimpin Agung, Ayatollah Ali Khamenei.
Iran telah membalas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, selain Jordan, Iraq, dan negara-negara Teluk yang menempatkan aset tentera AS, sehingga mengakibatkan kemalangan jiwa dan kerosakan infrastruktur selain menjejaskan pasaran global serta penerbangan.
-- BERNAMA-ANADOLU