KLANG: Seorang penunggang motosikal maut selepas dirempuh kereta dipandu individu di bawah pengaruh alkohol dan dadah dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Raya Barat, di sini, kira-kira jam 11.40 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey, berkata kemalangan itu melibatkan sebuah motosikal serta dua kereta iaitu Honda City dan Perodua Myvi.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati pemandu Honda City, lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an, dipercayai memandu secara laju dan berbahaya dari arah Jalan Raya Barat menghala ke Bandar Klang.
“Suspek dipercayai memotong beberapa kenderaan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh motosikal mangsa yang datang dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Akibat pelanggaran itu, mangsa, lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an tercampak ke atas sebuah Perodua Myvi sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Menurut beliau, hasil ujian saringan mendapati pemandu terbabit positif alkohol dan dadah, dan suspek telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut.
Jelas Jit Huey, kes disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 15 tahun serta denda antara RM50,000 hingga RM100,000, selain lesen memandu digantung serta-merta.
"Kes turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun serta pengawasan antara dua hingga tiga tahun, jika sabit kesalahan," ujarnya.
Jit Huey menambah orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat.
Terdahulu, tular rakaman video papan pemuka berdurasi satu minit memaparkan kemalangan tersebut, dengan mangsa dilihat dilanggar sebelum melambung dan terjatuh di atas bumbung sebuah kenderaan.