Skip to main content

Dunia

Indonesia optimis capai pertumbuhan 5.5 peratus melalui rangsangan musim perayaan, dasar WFH

KUALA LUMPUR, Oct 27 -- Indonesia’s Coordinating Minister for Economic Affairs, Airlangga Hartarto delivers his speech at the ASEAN-Indo-Pacific Forum (AIPF) 2025 today.  -- fotoBERNAMA (2025) COPYRIGHT RESERVED
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Airlangga Hartarto berkata gabungan rangsangan musim perayaan dan dasar bekerja fleksibel atau bekerja dari rumah (WFH) itu dijangka mengukuhkan permintaan domestik. - Gambar fail/Bernama

JAKARTA: Indonesia optimis mampu mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi 5.5 peratus pada suku pertama, disokong oleh program kerajaan yang dilaksanakan semasa Ramadan dan Aidilfitri.

Dasar pengaturan kerja fleksibel yang akan diperkenalkan selepas musim perayaan pula dijangka membantu merancakkan lagi aktiviti ekonomi.

Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Airlangga Hartarto berkata gabungan rangsangan musim perayaan dan dasar bekerja fleksibel atau bekerja dari rumah (WFH) itu dijangka mengukuhkan permintaan domestik serta memperkukuh daya tahan terhadap ketidaktentuan global.

“Kami berpuasa selama 30 hari dan sudah tentu makna kemenangan ini juga berkaitan dengan ekonomi. Kerajaan telah mewujudkan banyak program termasuk diskaun, menggalakkan mobiliti melalui kerja dari mana-mana, serta bantuan makanan dan sosial,” katanya menurut Agensi Berita ANTARA pada Ahad.

Sepanjang musim perayaan, tiket pengangkutan kereta api dan laut diberi diskaun sehingga 30 peratus, bayaran penyeberangan feri dikecualikan, manakala tambang penerbangan dikurangkan kira-kira 17 hingga 18 peratus, dengan jumlah pembiayaan dianggarkan melebihi 900 bilion rupiah yang diperoleh daripada belanjawan negara (APBN) serta sokongan bukan APBN.

Kerajaan turut mengagihkan pakej bantuan makanan berupa keperluan asas seperti beras dan minyak masak kepada lebih 35 juta keluarga penerima dalam tempoh dua bulan bagi membantu mengekalkan kuasa beli.

Pada Sabtu, Airlangga berkata WFH akan dilaksanakan satu hari seminggu bagi mengimbangi fleksibiliti dengan produktiviti, manakala langkah itu dijangka menyokong perbelanjaan dalam jangka masa lebih panjang melalui corak perjalanan yang lebih fleksibel termasuk perjalanan hujung minggu yang lebih panjang serta peningkatan pergerakan ke kawasan wilayah.

Sementara itu, Menteri Kewangan Purbaya Yudhi Sadewa dilaporkan berkata anggaran awal menunjukkan pelaksanaan WFH berpotensi mengurangkan penggunaan bahan api kira-kira 20 peratus.

Beliau berkata pelaksanaan terhad satu hari seminggu itu dapat mengekalkan produktiviti sambil berpotensi mewujudkan corak hujung minggu yang lebih panjang yang boleh merangsang pelancongan domestik serta perbelanjaan berkaitan pelancongan.

-- BERNAMA

Must Watch Video