Skip to main content

Dunia

Indonesia gesa mesyuarat tergempar UNSC susulan serangan maut terhadap anggota UNIFIL

71719823732_UNSCR.jpg
Indonesia turut mendesak agar siasatan menyeluruh dilakukan terhadap serangan itu melalui saluran diplomatik bagi mengurangkan ketegangan dan mencegah keganasan lanjut. - Gambar fail

JAKARTA: Indonesia menggesa agar satu mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) diadakan susulan serangan ke atas Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL) yang mengorbankan seorang anggota pengamannya dan mencederakan tiga yang lain.

Menteri Luar Sugiono berkata gesaan itu disampaikan kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) António Guterres melalui perbualan telefon pada Isnin.

“Indonesia mengutuk sekeras-kerasnya serangan keji ini. Keselamatan dan perlindungan anggota pengaman PBB adalah perkara yang tidak boleh dikompromi dan mesti dipertahankan pada setiap masa,” kata Sugiono menerusi akaun rasmi X beliau pada Selasa.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Guterres atas ucapan takziah yang diberikan serta kesediaan PBB untuk bekerjasama rapat dengan Indonesia susulan insiden berkenaan.

Dalam perbualan telefon berasingan dengan Menteri Luar  dan Ekspatriat Lubnan Youssef Raji, Sugiono berkata beliau telah menyatakan kebimbangan mendalam Indonesia terhadap kejadian itu.

“Kami bersetuju untuk mengekalkan penyelarasan rapat dan mengambil tindakan susulan yang perlu, di samping menyokong usaha meredakan ketegangan serta mengekalkan kestabilan serantau,” katanya.

Lubnan turut mengutuk serangan itu, dengan Raji memuji pengorbanan kontinjen Indonesia serta sumbangan berterusan mereka bersama pasukan pengaman PBB dalam mengekalkan keselamatan dan kestabilan di selatan Lubnan.

Tentera Nasional Indonesia (TNI) mengesahkan insiden yang dilaporkan berlaku semasa berbalas tembakan meriam pada Ahad itu telah mengorbankan Prebet Kelas Pertama Farizal Rhomadhon.

Tiga anggota lain turut terkesan iaitu Prebet Kelas Pertama Rico Pramudia yang mengalami cedera parah, manakala Prebet Kelas Pertama Bayu Prakoso dan Prebet Kelas Pertama Arif Kurniawan mengalami kecederaan ringan.

Sugiono pada Isnin berkata Kerajaan Indonesia memberikan penghormatan tertinggi kepada anggota yang terkorban, sambil menambah bahawa anggota yang terkorban serta mereka yang tercedera telah mengharumkan nama negara menerusi tahap profesionalisme tinggi dalam menjalankan misi keamanan dunia.

“Mereka telah memberikan yang terbaik bukan sahaja untuk nama baik bangsa dan negara, malah dalam melaksanakan misi kemanusiaan yang sangat penting bagi keamanan dan kelangsungan kehidupan manusia,” katanya.

Beliau berkata kerajaan komited untuk memastikan urusan penghantaran pulang jenazah dilakukan dengan segera, dan telah mengarahkan Kedutaan Indonesia di Beirut untuk terus memantau keadaan semua anggota serta menyediakan aturan yang diperlukan.

Indonesia turut mendesak agar siasatan menyeluruh dilakukan terhadap serangan itu melalui saluran diplomatik bagi mengurangkan ketegangan dan mencegah keganasan lanjut.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video