NEW DELHI: India sedang mempergiat usaha mendapatkan sumber tenaga baharu daripada Rusia ketika konflik membabitkan Israel dan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran terus menyebabkan harga tenaga melonjak serta mengganggu aliran bekalan global.
Menurut laporan Reuters, New Delhi kembali beralih kepada Moscow untuk mendapatkan bekalan gas asli cecair (LNG) sebagai langkah memastikan keselamatan tenaga domestik.
Pegawai kedua‑dua negara dilapor mencapai persetujuan lisan bagi menyediakan pelan menyambung semula jualan LNG secara terus, kali pertama sejak bermulanya perang Ukraine.
Langkah itu diambil walaupun India sebelum ini mengurangkan import minyak dari Rusia akibat tekanan pentadbiran Presiden AS, Donald Trump.
Namun, ketegangan di Asia Barat yang menjejaskan laluan tenaga dan menaikkan kos import mendorong India menilai semula strateginya.
Selain LNG, rundingan juga merangkumi rancangan untuk meningkatkan penghantaran minyak mentah Rusia, yang dijangka menguasai bahagian lebih besar dalam jumlah import India dalam masa terdekat — berpotensi mencecah 40 peratus.
Penganalisis ekonomi berpendapat tindakan itu mencerminkan tekanan hebat ke atas ekonomi dunia untuk mengukuhkan simpanan tenaga masing‑masing ketika rantaian bekalan global semakin meruncing akibat perang.
Sebelum ini, New Delhi menyuarakan kebimbangan terhadap kesan jangka panjang konflik di Asia Barat yang berisiko melumpuhkan sektor industri negara jika alternatif bekalan tenaga tidak segera dipastikan.