Skip to main content

Dunia

India pulihara dapur diraja berusia hampir 200 tahun yang tidak pernah berhenti berkhidmat

From mouth-watering Galouti Kabab to Awadhi Biryani, delectable Chaat & Golgappe, desserts like Makhan Malai & so much more - Lucknow in Uttar Pradesh is a haven for food, enriched in centuries-old traditions._X @UNinIndia
Lucknow di Uttar Pradesh merupakan syurga makanan yang diperkaya dengan tradisi berusia berabad-abad. - Foto X/United Nations in India

LUCKNOW: Di negeri Uttar Pradesh, India utara, usaha sedang giat dijalankan untuk memulihara sebuah dapur diraja berusia hampir dua abad yang suatu ketika dahulu menyediakan makanan kepada pemerintah negeri Awadh dan orang awam, serta terus beroperasi hingga ke hari ini.

Terletak dalam kompleks Chota Imambara di Lucknow, dapur tersebut dibina pada tahun 1837 oleh pemerintah Awadh, Muhammad Ali Shah.

Selain berfungsi menyediakan makanan kepada keluarga diraja, dapur itu juga memainkan peranan penting sebagai pusat kebajikan, khususnya ketika perhimpunan keagamaan dan acara khas.

Walaupun sistem pemerintahan beraja telah lama berakhir dan Awadh kini hanya dikenali sebagai wilayah bersejarah, tradisi yang diasaskan hampir 200 tahun lalu itu terus dikekalkan.

Hingga kini, dapur berkenaan masih menyediakan makanan kepada ribuan orang setiap kali Ramadan dan Muharram, sebagai simbol khidmat kepada masyarakat.

Menurut sejarawan, Muhammad Ali Shah pada tahun 1839 telah mewakafkan sejumlah besar dana kepada Syarikat Hindia Timur British, dengan syarat monumen Awadh diselenggara dan dapur berkenaan terus beroperasi menggunakan faedah daripada dana tersebut.

Selepas kemerdekaan India pada 1947, wang itu dipindahkan ke bank tempatan dan kini diurus oleh Hussainabad Trust, sebuah badan di bawah pemantauan kerajaan negeri.

Namun, keadaan fizikal dapur itu semakin merosot, dengan dinding retak, plaster mengelupas dan lantai yang mula runtuh.

Keadaan itu mendorong penduduk tempatan menggesa Jabatan Kaji Selidik Arkeologi India (ASI) untuk campur tangan.

Kerja pemulihan dimulakan pada Oktober lalu dan dijangka siap menjelang akhir Mac.

Menurut ASI, usaha itu bukan sekadar membaiki struktur, malah bertujuan mengembalikan dapur tersebut kepada bentuk asalnya menggunakan bahan tradisional seperti mortar berasaskan kapur dan batu bata ‘lakhauri’ yang lazim dalam seni bina Awadhi.

Bagi waris keturunan diraja Awadh, pemulihan itu membawa nilai sentimental yang mendalam.

Mereka menyifatkan dapur berkenaan sebagai warisan budaya dan simbol nilai kemanusiaan yang perlu dipelihara.

Bagi penduduk tempatan pula, dapur itu bukan sekadar tempat memasak, tetapi lambang tradisi berterusan yang menghubungkan sejarah, kepercayaan dan komuniti sehingga ke zaman moden.

 

Must Watch Video