Skip to main content

Dunia

Gunung Semeru Indonesia meletus, kepulan asap menjulang 900 meter

81707208484_TBGunungSemeruj.jpg
Letusan berlaku pada 8 pagi waktu tempatan dengan tiang abu mencecah kira-kira 4,576m dari aras laut. - Gambar fail

JAKARTA: Gunung Semeru di Indonesia, yang terletak di sempadan Kabupaten Lumajang dan Malang di Jawa Timur meletus pada pagi Ahad, mencetuskan tiang abu setinggi 900 meter (m) di atas puncaknya, menurut pihak berkuasa.

Dalam satu kenyataan, pegawai pemerhati di pos pemantauan Semeru Sigit Rian Alfian berkata letusan berlaku pada 8 pagi waktu tempatan dengan tiang abu mencecah kira-kira 4,576 m dari aras laut.

“Tiang abu gunung berapi berdurasi kira-kira 111 saat diperhatikan berwarna putih hingga kelabu dan hanyut ke arah barat daya dengan intensiti tebal,” katanya menurut Agensi Berita Antara pada Ahad.

Data pemantauan menunjukkan dalam tempoh enam jam dari tengah malam hingga 6 pagi, Semeru merekodkan 18 gegaran berkaitan letusan dengan amplitud antara 10 hingga 22 milimeter dan tempoh antara 89 dan 201 saat.

Puncak tertinggi di Pulau Jawa itu turut mencatatkan aktiviti seismik lain, termasuk pelepasan gas, gegaran harmonik dan satu gempa bumi tektonik jauh dalam tempoh yang sama.

Pihak berkuasa mengekalkan status berjaga-jaga Semeru di Tahap III (Siaga), memberi amaran kepada penduduk supaya mengelak semua aktiviti dalam jarak 13 kilometer dari puncak di sektor tenggara.

-- BERNAMA

Must Watch Video