WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, memberitahu Kongres bahawa konflik ketenteraan dengan Iran telah “ditamatkan” berikutan pelaksanaan gencatan senjata, sekali gus menegaskan beliau tidak memerlukan kelulusan penggubal undang-undang untuk konflik tersebut.
Dalam surat kepada pemimpin Kongres, Trump menyatakan tiada pertukaran tembakan antara angkatan tentera AS dan Iran sejak 7 April 2026, dan konflik yang bermula pada 28 Februari lalu kini telah berakhir.
Surat itu dihantar pada hari ke-60 selepas beliau memaklumkan Kongres mengenai serangan AS ke atas Iran, selaras dengan tempoh yang ditetapkan di bawah 'War Powers Resolution'.
Undang-undang itu mewajibkan presiden menamatkan penggunaan tentera dalam tempoh 60 hari kecuali Kongres meluluskan penerusan operasi.
Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, sebelum ini berhujah bahawa tempoh 60 hari itu terhenti berikutan gencatan senjata, namun Ahli Senat Demokrat, Tim Kaine, mempertikaikan tafsiran tersebut.
Walaupun gencatan senjata masih berkuat kuasa, rundingan bagi mencapai perjanjian jangka panjang belum dimuktamadkan.
Media Iran melaporkan Tehran telah menghantar cadangan baharu kepada AS melalui Pakistan sebagai perantara, tetapi butirannya tidak didedahkan.
Trump berkata beliau telah berkomunikasi dengan Iran namun mengakui tidak berpuas hati, sambil mendedahkan bahawa Pentagon telah membentangkan kepadanya pilihan daripada tindakan ketenteraan sehingga kepada rundingan damai.