Skip to main content

Dunia

Gencatan senjata Lubnan boleh dikuat kuasa minggu ini - Laporan

71747823682_tblubnanisrael.jpg
Pegawai Lubnan berkata jika gencatan senjata diisytiharkan di Lubnan, tempohnya berkemungkinan bergantung pada tempoh gencatan senjata antara AS dan Iran. - Gambar fail

MOSCOW: Perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Lubnan boleh dikuat kuasa seawal minggu ini di tengah-tengah tekanan Amerika Syarikat (AS) untuk meredakan ketegangan di Asia Barat, menurut Financial Times yang memetik pegawai Lubnan, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Menurut laporan itu, gencatan senjata antara Israel dan pergerakan Hizbullah dari Lubnan boleh mula dikuat kuasa selepas tentera darat Israel melengkapkan penguasaan ke atas bandar utama Bint Jbeil di selatan Lubnan.

Pegawai Lubnan berkata jika gencatan senjata diisytiharkan di Lubnan, tempohnya berkemungkinan bergantung pada tempoh gencatan senjata antara AS dan Iran, selain ia akan bermakna serangan Israel dihentikan tetapi bukan pengunduran tenteranya.

Bagaimanapun, laporan itu menyatakan gencatan senjata di Lubnan bukan sebahagian daripada rundingan damai antara AS dan Iran. 

“Ini bukan sesuatu yang kami minta dan bukan sebahagian daripada rundingan damai dengan Iran, namun presiden mengalu-alukan berakhirnya permusuhan di Lubnan sebagai sebahagian daripada perjanjian damai antara Israel dan Lubnan,” menurut seorang pegawai kanan AS seperti dipetik akhbar itu.

Pada 16 Mac, tentera Israel secara rasmi mengumumkan pelancaran operasi darat di selatan Lubnan. 

Susulan pengumuman gencatan senjata selama dua minggu antara Iran dan AS minggu lalu, Hizbullah menggantung operasinya terhadap Israel. 

Operasi tempur pergerakan itu disambung semula pada 9 April selepas Israel melancarkan serangan besar-besaran ke atas Beirut dan bandar-bandar di selatan Lubnan sehari sebelumnya.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI

Must Watch Video