WASHINGTON: Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan Amerika Syarikat (NASA) terus mengeluarkan siri gambar menakjubkan bulan dan bumi yang dirakam oleh angkasawan misi Artemis II, sekali gus mencuri tumpuan dunia dan meraih jutaan tontonan di media sosial.
Imej berdefinisi tinggi itu memaparkan perspektif luar biasa dua jasad langit berkenaan, dihasilkan ketika empat angkasawan AS menjalani misi bersejarah yang membawa mereka lebih jauh dari bumi berbanding mana-mana manusia sejak 1972.
Namun, timbul persoalan sama ada gambar-gambar tersebut mempunyai nilai saintifik unik atau sekadar setara dengan foto percutian angkasa.
NASA secara terbuka mahu sokongan rakyat Amerika Syarikat (AS) terhadap misi itu, dengan menyiarkan perjalanan selama 10 hari secara langsung dan kemas kini video berkala daripada kru kapal angkasa Orion.
Agensi itu turut mendedahkan keterujaan kru sehingga tingkap Orion menjadi kotor dan perlu dibersihkan di tengah misi.
Ini merupakan kali pertama kamera digital dibawa sejauh itu ke angkasa.
Orion dilengkapi 32 kamera, termasuk kamera pegang tangan, GoPro dan telefon pintar, manakala beberapa gambar turut memaparkan peranti yang digunakan.
Antara imej awal yang dikeluarkan ialah foto “Hello, World” yang memperlihatkan bumi dan bulan dari jarak hampir sama, lengkap dengan aurora dan planet Venus.
Walaupun indah, pakar menyatakan gambar seperti itu tidak membawa penemuan saintifik baharu kerana bumi telah lama dirakam dari jarak lebih jauh oleh satelit.
Sementara itu, satu lagi foto menunjukkan Lembangan Orientale di bahagian jauh bulan, yang menurut NASA, buat pertama kali dilihat sepenuhnya oleh mata manusia.
Agensi itu menekankan kelebihan pemerhatian manusia berbanding robot, khususnya dalam mengesan perincian halus permukaan.
Bagaimanapun, Profesor Astrofizik Universiti Oxford, Chris Lintott, berpendapat nilai utama imej Artemis II adalah bersifat artistik dan simbolik, bukan saintifik, memandangkan kawasan bulan berkenaan sudah dipetakan oleh pelbagai misi robotik negara lain.
Di sebalik perdebatan itu, penganalisis melihat misi Artemis II sebagai penting dari sudut geopolitik dan simbol kepimpinan angkasa AS, khususnya ketika persaingan sengit dengan China untuk kembali menghantar manusia ke bulan.
Seperti gambar ikonik *Earthrise* pada 1968, NASA berharap Artemis II mampu mencipta detik bersejarah yang bukan sahaja mempamerkan kemajuan teknologi, tetapi juga membangkitkan imaginasi dan sokongan awam terhadap penerokaan angkasa lepas.