VIENTIANE: Empat penduduk tempatan berjaya diselamatkan selepas terperangkap lebih lapan hari di dalam sebuah gua yang dilanda banjir di wilayah Xaisomboun, Laos.
Bagaimanapun, operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan bagi mengesan dua lagi mangsa yang dilaporkan hilang.
Pihak berkuasa tempatan berkata kejadian berlaku di sebuah gua bekas lombong emas di daerah Long Chaeng, selepas kumpulan itu memasuki kawasan berkenaan sekitar 19 Mei untuk mencari hasil hutan dan mendulang emas.
Menurut kenyataan agensi keselamatan, mangsa terperangkap apabila hujan lebat berterusan mencetuskan banjir kilat yang menenggelamkan laluan keluar utama.
“Empat mangsa berjaya dikeluarkan secara berperingkat selepas paras air mula surut, manakala usaha kini tertumpu kepada pencarian dua lagi mangsa,” katanya.
Operasi SAR yang memasuki fasa kritikal berdepan cabaran termasuk struktur gua yang sempit dan berliku, arus air deras serta jarak penglihatan terhad dalam air berlumpur.
Kesemua mangsa yang diselamatkan dilaporkan dalam keadaan lemah akibat dehidrasi dan kekurangan makanan, dan kini menerima rawatan di hospital berdekatan.
Susulan kejadian itu, pihak berkuasa wilayah mengeluarkan larangan sementara kepada penduduk daripada memasuki kawasan gua dan tapak perlombongan lama sepanjang musim hujan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.