ISTANBUL: Duta Iran ke Moscow, Kazem Jalali menafikan laporan media pada Selasa bahawa Pemimpin Agung, Mojtaba Khamenei telah dibawa ke Moscow untuk rawatan perubatan selepas cedera dalam serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel, akhir bulan lepas, lapor Anadolu Ajansi.
Dalam satu kenyataan di laman X, Jalali menyifatkan laporan mengenai pemindahan Khamenei ke Rusia itu sebagai “satu perang psikologi baharu.”
“Pemimpin Iran tidak perlu melarikan diri dan bersembunyi di dalam tempat perlindungan; tempat mereka adalah di jalanan bersama rakyat. Darah syahid (bekas Pemimpin Agung, Ayatollah Ali Khamenei) membatalkan sihir peperangan psikologi dan limpahan pembohongan,” katanya.
Memetik pegawai tinggi yang rapat dengan Pemimpin Agung Iran, akhbar Al Jarida pada Ahad melaporkan bahawa Mojtaba Khamenei telah tercedera dalam serangan AS-Israel pada 28 Feb dan dibawa ke Moscow untuk rawatan.
Pada Isnin, jurucakap Kremlin Dmitry Peskov enggan mengulas mengenai perkara itu dengan menyatakan: “Kami tidak mengulas mengenai laporan sedemikian dalam apa jua cara sekalipun.”
-- BERNAMA-ANADOLU