JAKARTA: Dasar kerja dari rumah Indonesia membantu mengurangkan penggunaan petrol bersubsidi sebanyak hampir 9 peratus, kata Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Airlangga Hartarto pada Selasa, lapor Xinhua.
Susulan penilaian dasar itu sejak dua bulan lepas, kerajaan Indonesia memutuskan untuk meneruskan pengaturan kerja dari rumah.
Menurut menteri itu, penerusan dasar berkenaan adalah sebahagian langkah ekonomi kerajaan yang bertujuan mengekalkan momentum pertumbuhan di tengah-tengah cabaran ekonomi global.
Kerajaan dijangka mengeluarkan pekeliling baharu mengenai pengaturan kerja dari rumah untuk penjawat awam, manakala garis panduan berasingan untuk perusahaan milik kerajaan dan sektor swasta akan disediakan oleh pihak berkuasa berkaitan.
-- BERNAMA-XINHUA