WASHINGTON: Setiausaha Akhbar Rumah Putih Karoline Leavitt pada Rabu berkata dakwaan mengenai lanjutan gencatan senjata semasa antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran adalah “tidak benar buat masa ini”, lapor Xinhua.
Leavitt berkata pada sesi taklimat media di Rumah Putih bahawa pentadbiran Trump optimis rundingan yang berterusan mampu menghasilkan satu perjanjian bagi menamatkan perang yang sudah berlarutan sejak beberapa minggu.
“Kami yakin dengan prospek untuk mencapai satu perjanjian,” kata beliau.
Leavitt juga tidak memberi sebarang pengesahan mengenai tarikh rundingan dengan Iran akan disambung semula, namun berkata jika perbincangan diadakan, ia akan terus berlangsung di Pakistan susulan rundingan yang tergendala di Islamabad pada hujung minggu lalu.
Presiden AS Donald Trump pada Selasa berkata rundingan baharu antara AS dan Iran “mungkin berlangsung dalam tempoh dua hari akan datang” di Pakistan.
Beliau juga berkata bahawa perang AS-Israel dengan Iran “hampir berakhir,” namun tidak memberikan garis masa yang jelas.
Gencatan senjata selama dua minggu itu dijadual tamat minggu depan.
-- BERNAMA-XINHUA