Skip to main content

Bisnes

Juruterbang turun ‘landing’ di dapur, Grill Haven jadi ‘port’ makanan fusion mampu milik

Sumber: Malekah Aisyah/Astro AWANI.jpg
Muhammad Afiq (gambar) menunjukkan menu kegemaran ramai, “Shrimp Rolls” dan “Smashed Burger”. -Foto Malekah Aisyah/Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Bermula sebagai perniagaan kecil-kecilan dari rumah ketika pandemik COVID-19, Grill Haven kini berkembang menjadi sebuah restoran yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pelanggan, hasil keberanian mencuba dan keyakinan terhadap potensi sendiri.

Salah seorang pengasasnya, Muhammad Afiq Nazar yang juga juruterbang syarikat penerbangan nasional, membuktikan bahawa minat dan usaha mampu membuka jalan baharu, meskipun dalam situasi tidak menentu.

Menurut beliau, perjalanan Grill Haven bukanlah sesuatu yang mudah, namun ia dibina langkah demi langkah sejak tahun 2021.

“Asal dari tahun 2021 ketika itu di zaman pandemik COVID-19, tapaknya bermula sebagai sebuah perniagaan kecil-kecilan dari rumah.

“Kemudian perniagaan ini berkembang di Subang Jaya, Selangor dan Alhamdulillah ada kemajuan dan pindah ke Bangsar sebelum akhirnya bertapak di Bukit Damansara,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.

Perjalanan itu bukan sahaja menyaksikan pertumbuhan lokasi, malah evolusi konsep makanan yang ditawarkan, termasuk menu signature seperti “Smashed Burgers” dan “Shrimp Rolls” yang membawa kelainan kepada pelanggan.

Di sebalik perkembangan tersebut, Muhammad Afiq menjelaskan keputusan untuk terlibat secara serius dalam perniagaan ini bermula daripada keyakinan terhadap rakan pengasasnya.

Namun, peralihan daripada dunia penerbangan ke bidang perniagaan makanan hadir dengan cabaran tersendiri, terutama dari segi kemahiran berdepan pelanggan.

“Sebagai seorang juruterbang, kami tidak sentiasa berdepan dengan pelanggan, tetapi dalam perniagaan, kita seharusnya menjadi muka depan. Dari segi soft skill itu memang harus dibina dan dipraktikkan,” jelasnya.

Selain itu, aspek pengurusan kewangan turut menjadi antara cabaran utama yang perlu dipelajari dari awal.

Walaupun komitmen terhadap kerjaya sebagai juruterbang kekal menjadi keutamaan, Muhammad Afiq menekankan kepentingan pasukan yang kuat dalam memastikan operasi perniagaan berjalan lancar.

“Apabila kita sendiri berdepan dengan financial cost (kos kewangan) baru kita akan tahu macam mana sebuah organisasi dapat memberi impak yang besar kepada pelanggan.

Alhamdulillah kita dikurniakan pekerja yang sangat komited, mereka dapat terus melakukan operasi harian tanpa memerlukan tunjuk ajar yang terlalu terperinci daripada kami,” tambahnya.

Image
Sumber: Malekah Aisyah/Astro AWANI.jpg
Orang ramai boleh menikmati pelbagai menu fusion barat di Grill Haven, Bukit Damansara seperti “Snuggling Tots”. - Foto Malekah Aisyah/Astro AWANI

Dari sudut strategi, Grill Haven turut mengekalkan prinsip menyediakan makanan berkonsepkan ‘luxury’ atau mewah pada harga mampu milik.

Inspirasi menu pula datang daripada pengalaman dan pemerhatian, termasuk idea shrimp rolls yang diinspirasikan dari Jepun tetapi diolah semula untuk pasaran tempatan.

“Kita lakukan sedikit pengubahsuaian menu kami untuk memastikan kos tidak terlalu tinggi, tetapi masih ada aura luxury food pada harga yang mampu milik untuk semua lapisan masyarakat.

“Kapten Hafiz terlintas untuk bawakan konsep ini ke Malaysia dan memastikan elemen kos yang tidak perlu dapat dielakkan supaya harga kekal mampu milik,” ujarnya.

Dalam dunia perniagaan yang semakin kompetitif, Muhammad Afiq menegaskan kepentingan memahami kehendak pelanggan berbanding sekadar mengikut trend semasa.

Mengakhiri perkongsian, beliau menitipkan nasihat kepada golongan muda yang ingin menceburi bidang perniagaan agar berani mencuba, namun dengan perancangan yang teliti.

“Kalau kita rasa makanan itu tidak sesuai, kita takkan masukkan dalam menu… kita juga ambil pandangan pelanggan dahulu sebelum buat keputusan.

“Untuk orang ramai di luar sana, terutama Gen Z Jangan takut mencuba tetapi harus masuk dengan sebuah rancangan.

“Sentiasa bertanya kepada yang lebih berpengalaman untuk kurangkan risiko kegagalan,” katanya.

Kisah Grill Haven menjadi bukti bahawa daripada krisis boleh lahir peluang, dan dengan keberanian serta usaha berterusan, impian mampu direalisasikan.

 

Must Watch Video