BANGKOK: Bank of Thailand (BOT) menyemak turun unjuran pertumbuhan ekonomi negara itu bagi tahun 2026 kepada 1.3 peratus berbanding jangkaan awal 1.9 peratus berikutan impak peperangan yang berlarutan di Asia Barat.
Penolong Gabenor BOT, Chayawadee Chai-anant memberi amaran bahawa tiada had bagi senario ekonomi terburuk sekiranya konflik melibatkan Iran itu terus berlanjutan melampaui separuh kedua tahun ini.
Semakan itu dibuat memandangkan Thailand sangat bergantung kepada import tenaga dan sektor pelancongan yang kini terjejas teruk akibat krisis berkenaan.
Laporan bank pusat itu mendedahkan ketibaan pelancong dari negara-negara Teluk menjunam hampir ke paras sifar pada Mac lalu, manakala jumlah pelawat dari Malaysia turut merosot susulan peningkatan mendadak kos bahan api.
Kadar inflasi di Thailand dijangka mencecah 3.5 peratus, namun kerajaan tidak menolak risiko stagflasi sekiranya harga minyak terus melonjak dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) jatuh ke paras 0.2 peratus.
Meskipun berdepan tekanan inflasi yang didorong oleh masalah bekalan, BOT menyatakan kenaikan kadar faedah mungkin tidak akan dipertimbangkan dalam masa terdekat bagi mengelakkan tekanan tambahan kepada ekonomi domestik.
Langkah ini mencerminkan cabaran besar yang dihadapi oleh ekonomi kedua terbesar di Asia Tenggara itu dalam mendepani gangguan rantaian bekalan dan lonjakan kos sara hidup global.