SINGAPURA: Tentera Singapura (SAF) berjaya melupuskan sebutir bom udara peninggalan Perang Dunia Kedua (WWII) seberat 250 kilogram (kg) di tapak pembinaan Terminal 5 (T5) Lapangan Terbang Changi, pagi tadi.
Operasi pelupusan terkawal itu dijalankan oleh pasukan Pelupusan Ordnan Letupan (EOD) SAF antara jam 2.30 pagi hingga 4.30 pagi waktu tempatan.
Menurut kenyataan Polis Singapura (SPF), bahan letupan berkenaan ditemui oleh pekerja binaan di sepanjang Tanah Merah Coast Road pada jam 4.55 pagi Selasa lalu.
Pasukan pakar tentera menilai bahawa bom tersebut tidak selamat untuk dialihkan, sekali gus memerlukan pemusnahan dilakukan secara terus di lokasi penemuan.
Penduduk di kawasan berhampiran dilaporkan mendengar bunyi letupan kuat ketika operasi pelupusan dijalankan, namun pihak berkuasa menasihatkan orang awam supaya tidak cemas kerana kawasan impak dikawal sepenuhnya dalam zon pembinaan.
Changi Airport Group (CAG) mengesahkan operasi berkenaan selesai sepenuhnya dan tidak menjejaskan sebarang operasi penerbangan.
Pemeriksaan keselamatan terhadap infrastruktur serta sistem lapangan terbang di sekitar tapak pelupusan turut mendapati tiada sebarang kerosakan atau isu keselamatan.
Bom seberat 250kg itu dipercayai antara bom peninggalan perang paling berat pernah ditemukan di Singapura sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Sebagai perbandingan, penemuan bom seberat 100kg di Upper Bukit Timah pada September 2023 sebelum ini mencetuskan operasi pemindahan besar-besaran melibatkan lebih 4,000 penduduk.