Skip to main content

Malaysia

Negara tidak hadapi krisis makanan, bekalan masih mencukupi - Chan

61716960953_pasarraya.jpg
Chan berkata bekalan barangan lain seperti sayur-sayuran dan buah-buahan juga berada pada tahap mencukupi, walaupun harga mungkin berubah mengikut musim. - Gambar hiasan

PUTRAJAYA: Malaysia tidak berdepan krisis makanan dan bekalan masih mencukupi untuk menampung keperluan rakyat, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin.

Beliau berkata bekalan makanan asas negara kekal hasil langkah mitigasi yang diambil kerajaan seperti meningkatkan stok simpanan beras daripada enam bulan kepada sembilan bulan.

"Apa yang kita lihat sekarang ini ialah krisis tenaga, bukan krisis makanan dan bekalan makanan tetap ada," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program KPKM Dunia Agro+, di sini hari ini.

Chan berkata bekalan barangan lain seperti sayur-sayuran dan buah-buahan juga berada pada tahap mencukupi, walaupun harga mungkin berubah mengikut musim.

Beliau berkata faktor bermusim menyebabkan harga sayur-sayuran boleh naik atau turun pada sesuatu masa dan tidak semestinya berpunca sepenuhnya daripada krisis tenaga global.

Pada masa sama, Chan memberi jaminan bekalan baja negara masih mencukupi untuk tempoh beberapa bulan akan datang, dengan stok sedia ada dijangka mampu bertahan melepasi Julai walaupun terdapat sekatan eksport oleh beberapa negara.

Mengulas isu kenaikan kos dan cadangan menaikkan harga lantai padi susulan kenaikan harga diesel, Chan berkata kerajaan akan terus mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan.

Namun, beliau mengakui ia bukan keputusan mudah, memandangkan kerajaan kini menanggung beban subsidi yang tinggi susulan krisis tenaga global.

"Kerajaan tidak akan menutup ruang perbincangan, tetapi kita perlu mengambil kira implikasi kewangan kerana perbelanjaan berkaitan subsidi ketika ini mencecah berbilion ringgit," katanya.

Terdahulu, Chan melancarkan program Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Dunia Agro+ dengan kerjasama Shopee, yang menyasarkan 200 usahawan asas tani untuk diperkasakan melalui kemahiran digital dan peluasan akses ke pasaran e-dagang.

Beliau berkata peserta program melibatkan kategori makanan, minuman, snek dan produk segar akan menerima latihan serta bimbingan termasuk melalui Shopee University, meliputi aspek seperti penstriman langsung, pengoptimuman penyenaraian produk dan strategi jualan dalam talian.

Selain itu, pakej sokongan penjual bernilai RM320,000 turut disediakan bagi membantu peserta meningkatkan kehadiran mereka di platform e-dagang.

-- BERNAMA

Must Watch Video