WASHINGTON: Bank of America bersetuju membayar AS$72.5 juta (kira-kira RM285 juta) bagi menyelesaikan saman tindakan kelas yang dikemukakan oleh mangsa mendiang Jeffrey Epstein, yang menuduh bank itu memudahkan operasi pemerdagangan seksnya.
Saman itu difailkan pada Oktober lalu bagi pihak seorang wanita Florida, dikenali sebagai “Jane Doe”, yang mendakwa beliau didera oleh Epstein sekurang-kurangnya 100 kali antara 2011 hingga 2019.
Mangsa itu mendakwa dua akaunnya di Bank of America dibuka dan diurus atas arahan pasukan perniagaan Epstein.
Tuntutan berkenaan mendakwa bank itu mempunyai maklumat mencukupi mengenai kegiatan jenayah Epstein namun mengutamakan keuntungan berbanding melindungi mangsa.
Bagaimanapun, dalam dokumen mahkamah, Bank of America menegaskan penyelesaian itu tidak melibatkan sebarang pengakuan liabiliti atau salah laku.
Butiran penyelesaian tersebut didedahkan Jumaat lalu selepas difailkan di mahkamah persekutuan New York dan masih tertakluk kepada kelulusan seorang hakim.
Peguam mangsa, Sigrid McCawley, menyifatkan penyelesaian itu sebagai satu lagi langkah ke arah keadilan yang wajar diterima mangsa.
Kes ini menjadi penyelesaian ketiga melibatkan bank utama, selepas JP Morgan Chase dan Deutsche Bank masing-masing membayar AS$290 juta dan AS$75 juta.
Epstein, seorang pembiaya berprofil tinggi, ditemukan mati dalam tahanan pada Ogos 2019 dalam kes yang diklasifikasikan sebagai bunuh diri.