ANKARA: Lebih 230 orang diselamatkan di Hawaii selepas banjir melanda Pulau Oahu, sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai kemungkinan kegagalan fungsi empangan, lapor Anadolu Ajansi memetik laporan media pada Jumaat.
Hujan lebat mencetuskan apa yang disifatkan pegawai sebagai banjir terburuk di pulau itu dalam tempoh dua dekad, menurut The Guardian.
Pihak berkuasa berkata paras air di sebuah empangan meningkat daripada 24 meter kepada 25.6 meter dalam tempoh kurang 24 jam, hanya 1.8 meter di bawah kapasiti maksimum.
Paras air kemudian dilaporkan semakin surut, namun pegawai memberi amaran keadaan boleh berubah sekiranya hujan terus turun.
Gabenor Hawaii Josh Green berkata tiada kematian dilaporkan dan tiada individu masih hilang. “Kira-kira 10 orang dibawa ke hospital akibat hipotermia,” menurut laporan yang memetik beliau.
Datuk Bandar Honolulu Rick Blangiardi berkata kerosakan yang berlaku mungkin serius.
“Tidak syak lagi kerosakan yang berlaku setakat ini adalah bersifat bencana,” katanya. Kira-kira 5,500 penduduk diarahkan berpindah, manakala puluhan, malah kemungkinan ratusan rumah rosak.
Beberapa kawasan di Oahu menerima antara 20 hingga 30 sentimeter hujan semalaman.
Pasukan penyelamat menjalankan operasi menyelamat melalui udara dan air, namun operasi menjadi lebih sukar akibat tindakan orang awam menerbangkan dron.
-- BERNAMA-ANADOLU