Skip to main content

Dunia

Bangkok had penggunaan telefon bimbit di 437 sekolah BMA mulai 18 Mei

41715152497_phonegeneric.jpg
Pelajar digalakkan untuk menyerahkan telefon mereka kepada guru sepanjang waktu persekolahan bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih fokus. - Gambar hiasan

BANGKOK: Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) akan mengehadkan penggunaan telefon bimbit dan peranti digital semasa sesi pembelajaran di kesemua 437 sekolah di bawah seliaannya bermula 18 Mei ini, sebagai usaha meningkatkan tumpuan pelajar dan mengurangkan penggunaan skrin yang berlebihan.

Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt berkata, di bawah inisiatif "Phone Off, Learning On", pelajar digalakkan untuk menyerahkan telefon mereka kepada guru sepanjang waktu persekolahan bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih fokus.

Beliau berkata, inisiatif itu bertujuan mengawal selia penggunaan telefon bimbit dan peranti elektronik lain di sekolah BMA, selain menangani kebimbangan mengenai kesihatan serta tingkah laku yang dikaitkan dengan masa penggunaan skrin yang melampau.

"Teknologi digital memainkan peranan penting dalam pendidikan moden, namun penggunaan telefon pintar secara berlebihan telah membawa kepada isu-isu seperti jangka masa tumpuan yang singkat, peningkatan kadar rabun jauh serta kurangnya interaksi antara pelajar, guru dan rakan sebaya," katanya seperti yang dipetik oleh media tempatan.

Inisiatif itu telahpun dilaksanakan secara rintis di 10 buah sekolah BMA yang merangkumi peringkat pendidikan rendah dan menengah.

Chadchart berkata, polisi berkenaan turut merangkumi langkah keselamatan siber bagi membantu mencegah buli dalam talian serta mengehadkan akses pelajar kepada kandungan yang tidak sesuai semasa berada di sekolah.

Menurut laporan BMA, ibu bapa dan guru menyatakan tahap kepuasan yang tinggi terhadap program rintis itu, dengan memerhatikan peningkatan dalam aspek tumpuan dan prestasi akademik pelajar.

BMA kini sedang mengumpul maklum balas daripada pihak berkepentingan sebelum melaksanakan langkah itu secara rasmi di semua 437 sekolah pada penggal pertama tahun akademik 2026 yang bermula 18 Mei ini.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video