SINGAPURA: Negara anggota ASEAN telah memuktamadkan rundingan mengenai Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA), sekali gus membuka laluan kepada pemeteraian perjanjian penting itu pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada November tahun ini, menurut Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) Singapura pada Ahad.
Dalam satu kenyataan, MTI berkata rundingan itu dimuktamadkan pada mesyuarat kedua Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan Ekonomi ASEAN (SEOM) ke-57 yang diadakan di Manila, Filipina dari 27 hingga 29 Mei.
Menurut kenyataan itu, ASEAN DEFA menangani kerumitan era digital menerusi peraturan digital yang diperkemas, kukuh dan dikongsi bersama.
MTI berkata rangka kerja itu turut membuka dimensi baharu dengan menangani bidang yang sedang berkembang seperti kecerdasan buatan (AI), teknologi kewangan (fintech) dan perlindungan kod sumber.
“Berlandaskan komitmen ekonomi digital ASEAN sedia ada, DEFA mewujudkan peraturan dan rangka kerja bersama yang memudah cara perdagangan digital, mempermudah prosedur perdagangan digital, menyokong aliran data rentas sempadan yang dipercayai, memperkukuh pembayaran digital dan transaksi elektronik, mengukuhkan perlindungan pengguna dalam talian serta menggalakkan saling boleh kendali digital yang lebih meluas di seluruh rantau ini,” menurut kenyataan itu.
Menurut MTI, Singapura memainkan peranan aktif dalam menjayakan perjanjian berkualiti tinggi yang mempunyai nilai komersial yang signifikan.
“Kami berterima kasih kepada Thailand selaku Pengerusi Jawatankuasa Rundingan DEFA atas kepimpinannya, serta semua negara anggota, Sekretariat ASEAN dan pihak berkepentingan perniagaan atas sumbangan mereka,” tambah kenyataan itu.
-- BERNAMA