Skip to main content

Dunia

Asap dalam kokpit, pesawat JetBlue mendarat cemas di Newark

51494821206_jetBlueairlines.jpg
Kru pesawat melaporkan kehadiran asap dalam kokpit, menyebabkan kesemua 122 penumpang dan kru dievakuasi menggunakan gelongsor kecemasan selepas pesawat mendarat. -Gambar fail

NEWARK: Lapangan Terbang Antarabangsa Newark Liberty di Amerika Syarikat (AS) ditutup sementara selepas sebuah pesawat JetBlue terpaksa membuat pendaratan cemas berikutan masalah enjin dan asap di dalam kokpit.

Menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA), pesawat Airbus A320 itu berlepas pada kira-kira jam 5.45 petang waktu tempatan pada Rabu menuju ke Palm Beach, Florida, sebelum berpatah balik susulan kegagalan enjin.

Pihak berkuasa lapangan terbang berkata kru Penerbangan 543 itu melaporkan kehadiran asap dalam kokpit, menyebabkan kesemua 122 penumpang dan kru dievakuasi menggunakan gelongsor kecemasan selepas pesawat mendarat.

Seorang penumpang dibawa ke hospital selepas mengadu sakit dada, manakala penumpang lain tidak mengalami kecederaan.

Operasi penerbangan turut ditangguhkan sementara pesawat dialihkan dari laluan pergerakan pesawat.

FAA berkata ketibaan ke lapangan terbang dihentikan sementara bagi memberi ruang kepada operasi kecemasan, dan siasatan mengenai punca insiden sedang dijalankan.

JetBlue dalam kenyataan berkata keselamatan pelanggan dan kru menjadi keutamaan dan syarikat itu akan bekerjasama dengan pihak berkuasa sepanjang siasatan dijalankan.

Lapangan Terbang Newark Liberty dibuka semula sekitar jam 7 malam waktu tempatan, namun FAA menasihatkan penumpang supaya bersedia menghadapi kelewatan susulan kesesakan operasi.

Must Watch Video