KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan pendakwaan untuk mendapatkan perintah larangan terhadap wang pelaburan berjumlah RM548 juta yang didakwa dimiliki isteri bekas Menteri Kewangan, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, anaknya dan tujuh pihak lain dalam beberapa akaun bank Singapura.
Hakim Datuk Mohd Arief Emran Arifin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan selaku pemohon gagal memenuhi peruntukan di bawah Seksyen 53 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
“Peruntukan di bawah Seksyen 53 AMLATFPUAA tidak dipenuhi, oleh itu permohonan tersebut ditolak,” kata hakim itu.
Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mahadi Abdul Jumaat hadir bagi pihak pendakwaan manakala Na'imah, anaknya dan tujuh pihak lain diwakili peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar dan Abraham Au.
Pada 19 Jun 2025, SPRM selaku pendakwa raya memfailkan permohonan ex-parte (sebelah pihak) untuk menghalang Na'imah, anaknya Muhammed Amir Zainuddin, dua individu, lima syarikat atau mana-mana pihak berkaitan dengannya daripada menguruskan harta yang berada di luar Malaysia iaitu wang pelaburan GBP21 juta (kira-kira RM121 juta) dan USD99 juta (kira-kira RM423 juta) di Singapura.
Permohonan itu difailkan mengikut Seksyen 53 AMLATFPUAA 2001 susulan siasatan mengikut Seksyen 113 Akta Cukai Pendapatan dan Seksyen 4(1) .
-- BERNAMA