Skip to main content

Dunia

Arab Saudi perhebat program kesedaran mengenai adab tertib ziarah Masjid Nabawi

[2/2]Thousands of Pilgrims pray at the Prophet's Mosque in the holy city of Medina, Saudi Arabia, January 24, 2004./File Photo Purchase Licensing Rights
Pihak berkuasa memperhebat usaha kesedaran dan bimbingan bagi mendidik jemaah haji serta pengunjung mengenai adab tertib menziarahi Masjid Nabawi dan cara yang betul memberi salam kepada Nabi Muhammad SAW serta dua sahabat baginda. - Gambar fail Reuters

MADINAH: Pihak Berkuasa Am bagi Penjagaan Hal Ehwal Masjidilharam dan Masjid Nabawi memperhebat usaha kesedaran dan bimbingan bagi mendidik jemaah haji serta pengunjung mengenai adab tertib menziarahi Masjid Nabawi dan cara yang betul memberi salam kepada Nabi Muhammad SAW serta dua sahabat baginda.

Menurut Agensi Berita Arab Saudi (SPA), usaha itu dilaksanakan menerusi "sistem bimbingan bersepadu" dan kandungan pengisian dalam beberapa bahasa bagi meningkatkan kesedaran agama dan intelektual pengunjung sepanjang musim haji.

Program kesedaran itu termasuk penyampaian mesej bimbingan secara langsung di dalam Masjid Nabawi dan kawasan perkarangannya, selain penggunaan skrin digital serta kandungan digital berbilang bahasa.

Program itu bertujuan mendidik jemaah mengenai hukum dan adab tertib berkaitan ziarah, selain menggalakkan tingkah laku yang mencerminkan penghormatan terhadap tempat suci itu sambil mengekalkan ketenteraman dan ketertiban di Masjid Nabawi, menurut laporan itu.

Pihak berkuasa itu menegaskan komitmennya untuk menyampaikan mesej kesedaran menerusi medium yang mudah diakses dengan mengambil kira kepelbagaian warganegara dan bahasa jemaah sebagai sebahagian daripada usaha memperkaya pengalaman kerohanian mereka serta menyebarkan mesej kesederhanaan Dua Masjid Suci.

-- BERNAMA-SPA

 

 

Must Watch Video