Skip to main content

Dunia

AFPPD Global terima status Rakan Pelaksana UNFPA

FB Alexander Nanta Linggi
Status itu mengesahkan peranan Malaysia yang semakin berkembang sebagai rakan dipercayai dalam kerjasama antarabangsa melibatkan ahli Parlimen dan agensi berkaitan PBB. - Foto Facebook Alexander Nanta Linggi

PUTRAJAYA: Forum Ahli Parlimen Negara Asia Mengenai Populasi dan Pembangunan (AFPPD) Global telah menerima status Rakan Pelaksana oleh Dana Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) melalui satu perjanjian yang ditandatangani pada 12 Mei lepas.

Status itu membolehkan AFPPD Global melaksanakan pelan kerja yang dibiayai oleh UNFPA di bawah Program Global dan Serantau UNFPA 2026–2029, sekali gus memperkukuh peranannya dalam memajukan kerjasama antara ahli Parlimen berkaitan isu populasi dan pembangunan di rantau ini.

Menteri Kerja Raya yang juga Presiden AFPPD Malaysia Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata sebagai tuan rumah kepada Sekretariat Global AFPPD, Malaysia kini berada pada kedudukan yang lebih baik untuk berperanan sebagai pusat serantau bagi penglibatan ahli Parlimen dalam isu ketahanan demografi, kesihatan reproduktif, kesaksamaan gender, pemerkasaan belia dan pembangunan mampan

“Pencapaian ini juga amat signifikan kepada Malaysia. 

"Saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Ahli Parlimen Ipoh Timor Howard Lee, yang juga Setiausaha Agung AFPPD Global dan Timbalan Presiden AFPPD Malaysia atas kepimpinan beliau dalam memastikan pencapaian penting ini berjaya direalisasikan,” kata Nanta dalam satu hantaran Facebook, hari ini.

Status itu mengesahkan peranan Malaysia yang semakin berkembang sebagai rakan dipercayai dalam kerjasama antarabangsa melibatkan ahli Parlimen dan agensi berkaitan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. 

AFPPD Malaysia berharap dapat terus menyokong AFPPD Global dalam menterjemahkan pengiktirafan ini kepada usaha yang bermakna demi manfaat rakyat Asia dan Pasifik.

AFPPD merangkumi 30 jawatankuasa kebangsaan terdiri daripada ahli Parlimen di rantau Asia Pasifik dan Asia Tengah, serta berfungsi sebagai forum untuk mengesyorkan dan menyelaras dasar dengan matlamat mewujudkan masa hadapan yang lebih baik untuk semua manusia di rantau berkenaan, khususnya golongan rentan termasuk wanita, kanak-kanak dan belia serta warga emas.

AFPPD menganjurkan mesyuarat dan seminar ahli Parlimen lebih 10 kali setahun berdasarkan pelan aktiviti yang diterima pakai pada mesyuarat agung, dengan pembiayaan daripada pelbagai pihak berkepentingan termasuk UNFPA.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video