Skip to main content

Dunia

Australia rekod 161 kes difteria, satu kematian dilaporkan

71468837488_Diphtheriadifteria.jpg
Difteria ialah jangkitan bakteria yang boleh dicegah melalui vaksin dan boleh menjejaskan sistem pernafasan serta membawa maut jika tidak dirawat. - Gambar hiasan

CANBERRA: Wilayah Utara (NT) Australia mencatatkan kematian pertama akibat difteria di negara itu dalam tempoh hampir sedekad, ketika pihak berkuasa kesihatan berdepan peningkatan wabak yang tertumpu dalam komuniti Orang Asli, lapor Xinhua.

Pegawai kesihatan awam pada Jumaat berkata kematian itu berlaku beberapa minggu lalu di sebuah kawasan terpencil.

Difteria ialah jangkitan bakteria yang boleh dicegah melalui vaksin dan boleh menjejaskan sistem pernafasan serta membawa maut jika tidak dirawat.

NT mengisytiharkan wabak itu pada Mac, yang pertama sejak 1990-an. 

Sebanyak 161 kes kini dilaporkan di seluruh negara, dengan lebih 100 kes direkodkan di wilayah itu sahaja, menurut Australian Broadcasting Corporation.

Menurut data kesihatan Pusat Kawalan Penyakit Australia, lebih 98 peratus kes tempatan melibatkan penduduk Orang Asli, kebanyakannya di kawasan luar bandar dan terpencil.

Pakar perubatan berkata kes yang teruk sebahagian besarnya berlaku dalam kalangan individu yang tidak divaksin atau belum menerima dos penggalak.

Walaupun kadar vaksinasi kanak-kanak kekal tinggi, imuniti boleh berkurangan tanpa dos susulan ketika remaja dan dewasa.

Pegawai turut menyatakan keraguan terhadap vaksin selepas pandemik serta jurang akses kepada perkhidmatan kesihatan sebagai antara faktor yang mungkin mendorong penularan wabak itu.

-- BERNAMA-XINHUA

Must Watch Video