Skip to main content

Dunia

Abbas Araghchi puji pendirian tegas Islamabad sokong Tehran

81724302260_SeyedAbbasAraghchi.jpg
Abbas Araghchi (foto) menzahirkan penghargaan beliau terhadap pendirian tegas Islamabad yang menyokong penuh Tehran di tengah-tengah ketegangan memuncak di rantau itu. -Gambar fail

ISLAMABAD: Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, menzahirkan penghargaan kepada kerajaan dan rakyat Pakistan atas solidariti serta sokongan padu yang diberikan kepada Republik Islam itu dalam menghadapi siri serangan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Israel.

Abbas Araghchi menerusi satu hantaran dalam bahasa Urdu di platform media sosial X menyatakan penghargaan beliau terhadap pendirian tegas Islamabad yang menyokong penuh Tehran di tengah-tengah ketegangan memuncak di rantau itu.

 

 

"Pada hari dan waktu yang penuh keberkatan ini, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan dan rakyat Pakistan atas ungkapan solidariti serta sokongan padu mereka terhadap rakyat dan kerajaan Republik Islam Iran dalam menghadapi pencerobohan oleh Amerika dan rejim Zionis," tulis beliau di X.

Penghargaan berkenaan menyusul ketika Pakistan sedang giat menjalankan misi diplomatik melibatkan negara-negara serantau bagi membincangkan situasi keselamatan yang kian meruncing di Asia Barat.

Perkembangan berkaitan menyaksikan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, mengadakan perbincangan dengan kepimpinan Iran minggu lalu, manakala Menteri Luar Pakistan, Ishaq Dar, turut mengadakan rundingan dengan rakan sejawat dari China, Arab Saudi, Kuwait dan Oman bagi menyelaras respons terhadap krisis yang sedang memuncak.

Dalam pada itu, laporan data pengesanan kapal mendedahkan sebuah kapal milik Pakistan telah berjaya merentasi Selat Hormuz dan kini sedang menuju ke perairan negara tersebut di tengah-tengah kawalan ketat oleh tentera Iran di laluan strategik berkenaan.

Walaupun pihak kementerian berkaitan di Islamabad belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai pergerakan aset maritim itu, aktiviti diplomatik agresif Pakistan dilihat sebagai usaha untuk mengurangkan risiko konflik lebih luas yang boleh menjejaskan kestabilan ekonomi dan keselamatan serantau.

Must Watch Video