TOKYO: Seramai 20 orang dilaporkan cedera selepas seorang lelaki menyembur cecair tidak dikenali di sebuah kompleks beli-belah di daerah Ginza, pusat bandar Tokyo, hari ini.
Jurucakap Polis Metropolitan Tokyo, Yusuke Koide berkata suspek melakukan semburan itu berhampiran kawasan mesin juruwang automatik (ATM) di tingkat bawah bangunan.
Pihak bomba menerima panggilan kecemasan sekitar tengah hari selepas pengunjung mengadu terhidu bau menyengat dan mengalami batuk.
Menurut laporan NHK, kebanyakan mangsa mengalami kecederaan ringan, dengan ada yang mengadu tekak pedih, sakit dan kebas selepas menghampiri lokasi kejadian.
Sebanyak 53 jentera bomba dikerahkan bagi mengawal keadaan, manakala laluan utama di hadapan kompleks beli-belah Ginza Six ditutup.
Beberapa mangsa dilihat dibawa ke ambulans, sementara pegawai keselamatan berpakaian pelindung bahan berbahaya (hazmat) menjalankan pemeriksaan di kawasan tersebut.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek sempat menyembur bahan itu sebelum melarikan diri.
Polis dan pihak bomba kini menjalankan siasatan bagi mengenal pasti kandungan cecair berkenaan serta mengesan suspek.