Skip to main content

Dunia

14 orang awam terbunuh dalam serangan meriam RSF di Kordofan Selatan, Sudan

81681616294_Sudan.jpg
Bandar Dilling mengalami bedilan hebat untuk hari kedua berturut-turut oleh RSF dan Gerakan Pembebasan Rakyat Sudan-Utara (SPLM-N). - Gambar fail

KHARTOUM: Sekurang-kurangnya 14 orang awam terbunuh dalam serangan meriam oleh pasukan separa tentera Pasukan Sokongan Pantas (RSF) di negeri Kordofan Selatan, Sudan, lapor Anadolu Ajansi yang memetik kumpulan perubatan tempatan pada Ahad.

Rangkaian Doktor Sudan dalam satu kenyataan berkata, dua wanita dan lima kanak-kanak antara mangsa dalam serangan yang menyasarkan Bandar Dilling pada Sabtu malam, manakala 23 lagi individu termasuk tujuh kanak-kanak cedera.

Menurut kenyataan itu, serangan itu menyasarkan kawasan kediaman di bandar berkenaan, menyebabkan jumlah kematian yang tinggi “dalam keadaan kemanusiaan dan kesihatan yang amat sukar serta kekurangan kakitangan perubatan.”

Kumpulan itu turut memaklumkan bahawa bandar itu mengalami bedilan hebat untuk hari kedua berturut-turut oleh RSF dan Gerakan Pembebasan Rakyat Sudan-Utara (SPLM-N).

Dilling dikepung oleh kumpulan separa tentera itu selama lebih dua tahun. Rangkaian itu menggesa masyarakat antarabangsa dan organisasi kemanusiaan agar mengambil tindakan segera untuk menghentikan pelanggaran oleh RSF serta memberikan perlindungan kepada orang awam di Sudan. RSF tidak mengeluarkan kenyataan mengenai laporan itu.

Sejak April 2023, tentera Sudan dan RSF terlibat dalam konflik berhubung rancangan untuk mengintegrasikan pasukan separa tentera itu ke dalam angkatan tentera. Pertempuran itu mencetuskan antara krisis kemanusiaan terburuk di dunia, dengan puluhan ribu terbunuh dan hampir 13 juta orang kehilangan tempat tinggal.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video