Skip to main content

Bisnes

Sektor logistik domestik dijangka kekal stabil tahun ini susulan lonjakan e-dagang, AI

81748413394_WestportsPortKlang.jpg
Pelabuhan Malaysia sebahagiannya mendapat manfaat daripada potensi lencongan perdagangan di tengah- tengah ketegangan perdagangan AS-China. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) menjangkakan pertumbuhan sektor logistik domestik kekal stabil pada 2026, menerima manfaat daripada e-dagang yang berkembang pesat.

Selain itu, ia turut disokong oleh peningkatan kitaran teknologi global yang diterajui oleh permintaan pusat data kecerdasan buatan (AI), ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang berdaya tahan dan potensi lencongan perdagangan di tengah-tengah ketegangan perdagangan AS-China. 

Ia berkata Pertubuhan Perdagangan Dunia memetik bahawa aliran baharu yang menghubungkan ekonomi atau negara yang mendapat manfaat daripada lencongan perdagangan disebabkan oleh ketegangan perdagangan AS-China. 

“Pertumbuhan Malaysia, Singapura, India dan Vietnam melonjak berikutan peranan baharu mereka sebagai ‘penghubung’ ekonomi, berdagang merentasi blok geopolitik, sekali gus berpotensi mengurangkan risiko pemecahan perdagangan,” katanya. 

Kenanga IB berkata berdasarkan data perdagangan luar terkini Malaysia pada Februari 2026, eksport ke AS merekodkan pertumbuhan kukuh tahun ke tahun sebanyak 42.3 peratus, lebih tinggi berbanding 33.9 peratus pada Januari, susulan permintaan yang kukuh untuk produk elektrik dan elektronik.

“AS kini merupakan destinasi eksport terbesar Malaysia pada bulan tersebut,” katanya. 

Sementara itu, bank pelaburan itu juga berkata Malaysia akan menerima manfaat daripada lencongan perdagangan apabila perdagangan global meletakkan semula kedudukannya di sekitar halangan tarif AS yang lebih tinggi. 

Secara keseluruhan, katanya, jumlah pertumbuhan kontena pelabuhan Malaysia dijangka kekal dalam angka tunggal yang rendah, berdasarkan anggaran pertumbuhan empat peratus pada 2026, memandangkan pelabuhan Malaysia banyak melabur dalam laluan perdagangan intra-Asia, yang kurang terjejas oleh peningkatan tarif ke AS.

Pelabuhan Malaysia sebahagiannya mendapat manfaat daripada potensi lencongan perdagangan di tengah- tengah ketegangan perdagangan AS-China, manakala penerima manfaat terbesar dalam tempoh jangka panjang mungkin Bintulu Port Holdings, berikutan pendedahannya kepada China sebagai pasaran eksport gas cecair asli (LNG) terbesarnya. 

Bagaimanapun, kompleks LNG Petroliam Nasional Bhd (Petronas) Malaysia kini sedang beroperasi pada kapasiti maksimum, yang dijangka berterusan selama beberapa tahun sehingga syarikat minyak nasional itu memuktamadkan pelan pengembangannya. 

Dalam pada itu, Kenanga IB mengekalkan pendirian 'Neutral' untuk sektor pelabuhan dan logistik.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video