KUALA LUMPUR: Petunjuk utama RHB Bank Bhd menunjukkan tiada bukti wujud kelembapan dalam pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada suku kedua tahun ini walaupun premium geopolitik meningkat.
Ketua Ahli Ekonomi dan Ketua Penyelidikan Pasaran Kumpulan Barnabas Gan berkata pendekatan itu turut menunjukkan pertumbuhan KDNK sebanyak 5.3 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2026 selaras dengan kadar yang dicatatkan pada suku pertama 2026.
“Kami mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK tahunan Malaysia pada 4.7 peratus bagi 2026 walaupun pertumbuhan kukuh pada suku kedua 2026, jika direalisasikan, akan menunjukkan kecenderungan meningkat kepada 5.0 peratus,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Gan berkata indeks itu telah membantu merumuskan pandangan ke hadapan RHB mengenai momentum KDNK Malaysia dan berjaya mengunjurkan krisis terdahulu dengan tepat termasuk kejatuhan gelembung dot.com, krisis kewangan global 2008 dan COVID-19, selain peningkatan semula momentum pertumbuhan pada separuh kedua 2023 dan kadar peningkatan selepas tempoh kelembapan ekonomi.
“Pembinaan indeks ini disokong oleh keupayaan pembelajaran mesin dalaman kami, dipacu oleh data raya dan kepakaran statistik, selain indeks tersebut menunjukkan lebih awal pertumbuhan KDNK sebanyak dua suku tahunan,” katanya.
-- BERNAMA