Skip to main content

Bisnes

Konflik Asia Barat: Syarikat penerbangan Asia naikkan tambang, kos bahan api melonjak

41715748024_Airplane.jpg
Kebanyakan syarikat penerbangan Asia didapati kurang terlindung daripada turun naik harga minyak berbanding rakan di Eropah dan Amerika Syarikat. - Gambar hiasan

SYARIKAT penerbangan di Asia terpaksa menaikkan tambang dan menyediakan pelan kecemasan termasuk menggantung operasi pesawat susulan konflik yang semakin tegang di Asia Barat melonjakkan harga minyak dunia ke tahap tertinggi dalam tempoh beberapa dekad. 

Menurut laporan Bloomberg, keadaan itu mencetuskan kebimbangan berlakunya kejutan minyak paling buruk sejak tahun 1970-an. 

Di India, beberapa syarikat penerbangan menaikkan tambang laluan jarak jauh sehingga 15 peratus, manakala Vietnam memberi amaran kenaikan tambang boleh mencecah 70 peratus kerana pergantungan besar negara itu kepada bahan api jet import. 

Kebanyakan syarikat penerbangan Asia didapati kurang terlindung daripada turun naik harga minyak berbanding rakan di Eropah dan Amerika Syarikat. 

Akibatnya, syarikat tambang rendah Asia Tenggara kini menilai kemungkinan menggantung pesawat sekiranya bahan api jet menjadi terlalu mahal atau sukar diperoleh.

Penganalisis pasaran minyak, June Goh dari Sparta Commodities, menyatakan lonjakan harga semasa menjadi tekanan besar kepada syarikat yang mempunyai program lindung nilai lemah, terutama yang menjual tiket pada harga sebelum kenaikan harga bahan api berlaku. 

Sumber industri pula menjelaskan bahawa syarikat tambang rendah beroperasi dengan margin tipis dan boleh gulung tikar sekiranya keadaan berterusan lebih tiga bulan. 

Malah, laporan Deutsche Bank menyebut ribuan pesawat di seluruh dunia mungkin terpaksa digantung operasi sekiranya perang berlanjutan. 

Gangguan penerbangan di Asia Barat semakin ketara apabila beberapa lapangan terbang utama hampir lumpuh, memaksa syarikat penerbangan dunia menilai semula jadual penerbangan dan bekalan bahan api. 

Ini menambah ketidaktentuan terhadap pemulihan sektor penerbangan global yang masih dalam fasa menstabilkan operasi.

Walaupun begitu, beberapa tokoh industri melihat ruang optimistik bahawa konflik mungkin tidak berpanjangan. 

Ketua Pegawai Eksekutif Air Lease Corp, John Plueger, percaya keadaan semasa bersifat sementara dan sektor penerbangan akan kembali bergerak sebaik kekangan semasa reda. 

Lufthansa pula dilaporkan mempunyai kelebihan relatif kerana perlindungan harga bahan api yang kukuh, sekali gus membolehkan syarikat itu mengalihkan kapasiti ke laluan Asia dan Afrika ketika syarikat penerbangan Asia Barat masih beroperasi secara terhad. 

Bagaimanapun, saham syarikat penerbangan Asia terus merudum susulan harga minyak yang meningkat melepasi AS$100 setong. 

Asiana Airlines jatuh ke paras terendah dalam tempoh lebih 21 tahun, manakala syarikat induk IndiGo di India turut menyaksikan penurunan ketara sebelum pulih sedikit menjelang penutupan dagangan. 

Keadaan ini menguatkan lagi kebimbangan bahawa ketidakstabilan geopolitik di Asia Barat boleh membawa tekanan jangka panjang kepada sektor penerbangan Asia yang kini berdepan cabaran operasi paling signifikan sejak pandemik.


 

Must Watch Video