KUALA LUMPUR: Ekovest Bhd memutuskan untuk tidak meneruskan cadangan pengambilalihan empat bidang tanah yang dirancang bagi pembangunan berorientasikan transit (TOD) di sepanjang jajaran Laluan Rapid Transit System (RTS) Johor Bahru-Singapura.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata terma perjanjian yang ditandatangani pada Oktober 2023 telah luput pada Isnin selepas beberapa kali lanjutan, seperti dipersetujui bersama oleh semua pihak terlibat.
Menurut Ekovest, keputusan tersebut dijangka tidak memberi sebarang kesan material terhadap kedudukan kewangan, operasi mahupun undang-undang kumpulan.
“Bagaimanapun, syarikat kekal terbuka untuk mempertimbangkan semula cadangan pengambilalihan tersebut sekiranya terdapat peluang yang bersesuaian pada masa hadapan,” katanya.
Cadangan itu sebelum ini merupakan sebahagian daripada pelan penyusunan semula perniagaan lebih besar yang melibatkan Ekovest, pemegang saham utamanya Tan Sri Lim Kang Hoo, Knusford Bhd serta Credence Resources Sdn Bhd.
Di bawah cadangan tersebut, Ekovest merancang memperoleh kira-kira 15.82 ekar tanah merangkumi dua lot pegangan bebas yang menempatkan Danga City Mall dan sebuah pusat ekspo, selain dua lot komersial pegangan pajakan di Johor Bahru, dengan nilai indikatif RM310 juta.
Keseluruhan pertimbangan pembelian itu dicadangkan diselesaikan melalui penerbitan saham baharu Ekovest pada harga 60 sen sesaham, tertakluk kepada penilaian, usaha wajar dan pemeteraian perjanjian muktamad.
Sebelum ini, syarikat berpandangan lokasi tanah berkenaan yang berhampiran Laluan RTS berpotensi meningkatkan nilai perniagaan pembangunan dan pelaburan hartanahnya, susulan limpahan manfaat daripada peningkatan kesalinghubungan antara Johor Bahru dan Singapura. - DagangNews.com