KAJANG: Astro terus memperkukuh peranannya sebagai pemangkin pertumbuhan perniagaan dan komuniti menerusi penganjuran Astro BizOne Rewards Watch Party di Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Kajang.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Euan Smith berkata, pendekatan membawa pengalaman tontonan sukan secara langsung ke lapangan merupakan strategi untuk merapatkan hubungan dengan komuniti serta rakan strategik.
Menurutnya, inisiatif itu memberi fokus kepada penglibatan langsung selain menghargai kerjasama jangka panjang bersama rakan seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB).
“Pendekatan ini adalah untuk mengukuhkan hubungan, meningkatkan penglibatan serta menghargai rakan strategik kami seperti UNITEN dan TNB yang telah lama bekerjasama dengan Astro.
“Kami mahu memberi platform kepada rakan-rakan ini untuk diketengahkan, menunjukkan komitmen dan semangat kami, serta memperlihatkan kepada pelajar di UNITEN tentang kepentingan sukan termasuk manfaat kesihatan.
“Pada masa sama, ia juga membuka ruang untuk kami mempromosikan kandungan dan produk Astro secara lebih dekat kepada pengguna,” katanya.
Program yang berlangsung pada Ahad itu menyaksikan ratusan pelajar serta peminat bola sepak berhimpun menyaksikan perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Liverpool menentang Everton dan Manchester City menentang Arsenal dalam suasana meriah dan interaktif.
Selain pengalaman tontonan, inisiatif tersebut turut memberi impak kepada perniagaan melalui peningkatan kehadiran pelanggan dan aktiviti ekonomi setempat.
Euan menjelaskan, melalui pakej Astro BizOne Rewards, pelanggan perniagaan berpeluang memanfaatkan pelbagai sokongan yang ditawarkan bagi merangsang pertumbuhan perniagaan mereka.
“Melalui pakej BizOne Rewards ini, pelanggan Astro dalam segmen perniagaan berpeluang menikmati pelbagai bentuk sokongan bernilai jutaan ringgit termasuk bahan promosi dan bantuan pemasaran.
“Inisiatif ini membantu premis seperti restoran, kafe dan pusat hiburan menarik lebih ramai pelanggan, sekali gus meningkatkan jualan makanan dan minuman sambil pelanggan menikmati kandungan hiburan berkualiti,” jelasnya.
Beliau turut menyifatkan penganjuran di UNITEN sebagai berjaya dengan sambutan yang menggalakkan daripada komuniti setempat.
“Suasana di sini sangat meriah dengan kehadiran ramai penonton. Semua hadir untuk menikmati perlawanan dalam suasana santai dan menyeronokkan, menjadikan pengalaman ini sesuatu yang unik berbanding tontonan biasa di rumah,” tambahnya.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad berkata, kerjasama strategik bersama Astro memberi nilai tambah kepada komuniti serta institusi pendidikan seperti UNITEN.
“Kerjasama antara TNB dan Astro telah lama terjalin dan banyak program berjaya dilaksanakan bersama.
“Saya berharap kolaborasi ini dapat diteruskan pada masa akan datang kerana ia memberi manfaat kepada komuniti setempat serta membantu mempromosikan UNITEN sebagai institusi pengajian tinggi di Malaysia.
“Program seperti ini juga membuka ruang kepada golongan muda untuk berkumpul dan merasai pengalaman yang positif serta menyeronokkan,” katanya.
Beliau sebelum itu turut menekankan bahawa program seumpama ini mampu menghimpunkan golongan muda dalam suasana sihat dan membina.
“Program seperti ini memberi pendekatan yang baik untuk menarik komuniti setempat dan menggalakkan penglibatan golongan muda dalam aktiviti positif,” ujarnya.
Dalam masa sama, pengalaman menonton secara beramai-ramai jelas memberi nilai tambah kepada penonton berbanding tontonan secara individu.
Seorang pelajar UNITEN, Muhammad Aqil Fawwaz berkata, suasana yang meriah menjadikan pengalaman tersebut lebih bermakna, khususnya bagi peminat bola sepak.
“Saya memang peminat Liverpool, jadi apabila tahu ada Watch Party ini, saya terus datang kerana suasananya sangat meriah dan semua orang berkongsi kegembiraan terutama ketika gol dijaringkan,” katanya.
Seorang lagi pelajar, Muhammad Akmal Muhammad Zaki berkata, kualiti penganjuran serta suasana keseluruhan acara memberi kepuasan kepada pengunjung.
“Pengalaman di sini sangat berbeza kerana suasana lebih hidup, makanan yang disediakan juga baik dan keseluruhannya memberikan pengalaman yang sangat menyeronokkan,” jelasnya.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada kempen Astro BizOne Rewards yang menawarkan sokongan pemasaran bernilai sehingga RM17.5 juta bagi membantu perniagaan meningkatkan kehadiran pelanggan serta keterlihatan jenama.
Astro dijangka akan terus memperluaskan penganjuran Watch Party ke lebih banyak lokasi dalam usaha memperkukuh ekosistem perniagaan serta memperkayakan pengalaman pelanggan di seluruh negara.
Sehubungan itu, pengusaha F&B serta perniagaan lain digalakkan untuk meneroka peluang kerjasama bersama Astro BizOne bagi memperkukuh jenama dan meningkatkanpertumbuhan perniagaan.
Maklumat lanjut mengenai kempen Astro BizOne Rewards boleh didapati dengan melayari laman sesawang rasmi di biz.astro.com.my.