GAZA: Sekurang-kurangnya sembilan penduduk Palestin terbunuh dalam beberapa serangan udara Israel di utara dan selatan Semenanjung Gaza pada Ahad, menurut pegawai pertahanan awam dan pegawai kesihatan Palestin.
Petugas perubatan berkata empat mangsa terkorban selepas sebuah khemah pelarian di utara Gaza dibedil pesawat Israel, manakala lima lagi terbunuh dalam serangan berasingan di Khan Younis, selatan Gaza.
Tentera Israel (IDF) dalam kenyataan memaklumkan serangan itu menyasarkan anggota Hamas yang didakwa melanggar perjanjian gencatan senjata, termasuk insiden di Beit Hanoun pada Sabtu apabila beberapa individu dilapor keluar dari terowong di kawasan yang ditetapkan sebagai “yellow line” di bawah kawalan Israel.
IDF menyifatkan operasi tersebut sebagai “tepat” serta mematuhi undang-undang antarabangsa.
Sejak perjanjian gencatan senjata berkuat kuasa Oktober lalu, Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan lebih 600 penduduk Palestin terbunuh akibat serangan Israel, manakala pihak Israel mendakwa empat anggotanya terbunuh dalam tempoh sama.
Kedua‑dua pihak saling menuduh melanggar syarat gencatan senjata yang menjadi sebahagian daripada pelan damai yang diusahakan Amerika Syarikat.