NEW DELHI: Penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) mendorong syarikat memperlahankan pengambilan pekerja, khususnya di peringkat kemasukan, lapor Press Trust of India (PTI) yang memetik satu laporan.
Menurut kajian oleh Majlis Penyelidikan Hubungan Ekonomi Antarabangsa India (ICRIER) dengan sokongan OpenAI, penggunaan AI sedang membentuk semula keutamaan pengambilan pekerja dalam sektor berkenaan.
Kajian itu mendapati 63 peratus firma melaporkan peningkatan permintaan terhadap calon yang memiliki kepakaran bidang serta kemahiran AI atau data, menunjukkan premium yang semakin meningkat terhadap set kemahiran hibrid apabila AI diintegrasikan ke dalam aliran kerja teras.
Bertajuk AI and Jobs: This Time Is No Different, kajian itu antara penilaian peringkat firma paling komprehensif setakat ini mengenai penggunaan AI generatif di India.
Kajian yang dijalankan antara November 2025 hingga Januari 2026 itu menerima maklum balas daripada 650 firma IT merangkumi 10 bandar di India.
“Firma melaporkan pengurangan sederhana dalam pengambilan pekerja, tertumpu terutamanya pada peringkat kemasukan, dengan kestabilan pada peringkat pertengahan dan kanan. Penyelidik menyatakan penyederhanaan ini selari dengan trend pascapandemik dalam industri IT dan tidak boleh dikaitkan dengan penggunaan AI semata-mata,” menurut laporan itu.
Peranan yang sering dianggap paling terdedah kepada AI seperti pembangun perisian dan pentadbir pangkalan data juga antara jawatan yang mencatat pertumbuhan permintaan paling kukuh, menunjukkan AI generatif berfungsi sebagai pelengkap peningkatan produktiviti kepada kerja teknikal dan analitik, bukannya pengganti.
Merentasi lebih 1,900 bahagian perniagaan yang dikenal pasti paling terkesan oleh AI, peningkatan produktiviti jauh mengatasi penurunan, menurut laporan itu.
“Secara purata, bahagian yang melaporkan output lebih tinggi dengan saiz pasukan stabil atau berkurangan mengatasi bahagian yang mengalami penurunan produktiviti pada nisbah 3.5 kepada 1. Hampir satu pertiga bahagian melaporkan peningkatan output dan pengurangan kos, menunjukkan AI membolehkan firma meningkatkan output dengan lebih cekap tanpa pengurangan pekerjaan yang sepadan,” menurut laporan itu.
Lebih separuh firma yang ditinjau memaklumkan mereka menyokong penggunaan AI melalui inisiatif kesedaran atau latihan, manakala 38 peratus lagi merancang berbuat demikian.
Bagaimanapun, liputan latihan masih terhad, dengan hanya sebahagian kecil firma melaporkan lebih separuh tenaga kerja mereka menerima latihan berkaitan AI dalam tempoh setahun lalu.
Antara cabaran utama yang dikenal pasti termasuk kesukaran mendapatkan jurulatih berkelayakan, kos tinggi dan pulangan yang tidak menentu, kebimbangan etika serta perundangan, selain tahap kesiapsiagaan organisasi.
-- BERNAMA-PTI