NUSANTARA: Indonesia mengesahkan kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan di ibu negara baharunya, Nusantara, menjelang perpindahan berperingkat penjawat awam bermula 2026.
Pengarah Perkhidmatan Asas Otorita Ibu Kota Negara (OIKN), Suwito, berkata empat hospital telah digazetkan di Kawasan Inti Pusat Pemerintahan (KIPP), dengan tiga daripadanya telah beroperasi sepenuhnya iaitu Hospital Umum Pusat (Kementerian Kesihatan), Hospital Nusantara Mayapada dan Hospital Nusantara Hermina.
Beliau berkata kapasiti rawatan ketika ini berada pada dua hingga tiga katil bagi setiap 1,000 penduduk, melepasi piawaian nasional yang menetapkan sekurang‑kurangnya satu katil bagi setiap 1,000 penduduk.
Layanan BPJS Kesehatan disediakan di Hospital Hermina dan Mayapada, sementara perlindungan BPJS Ketenagakerjaan bagi kemalangan dan penyakit pekerjaan turut tersedia di kawasan KIPP.
Menurut Suwito, 16 kementerian dan agensi pusat dijadualkan memulakan operasi di Nusantara secara berperingkat mulai 2026 sebagai persediaan kepada pemindahan pentadbiran negara.
Selain kemudahan kesihatan, OIKN turut melaksanakan inisiatif sokongan seperti kawalan nyamuk melalui pelepasan ikan di kolam takungan serta program advokasi dan pendidikan kesihatan awam.
Pembangunan Nusantara dimulakan semasa pentadbiran Presiden Joko Widodo dan diteruskan oleh Presiden Prabowo Subianto, yang menyasarkan ibu negara baharu itu diisytiharkan sebagai pusat pentadbiran politik menjelang 2028.
Fasa kedua pembinaan kini tertumpu kepada infrastruktur institusi kehakiman dan legislatif, dengan tempoh pembangunan sehingga 2027.