MADRID: Bintang pop antarabangsa, Shakira, mengumumkan langkah luar biasa dalam industri muzik dengan membina sebuah stadium sementara yang dinamakan “Estadio Shakira” bagi menutup siri jelajah dunia terbaharunya, Las Mujeres Ya No Lloran, di ibu negara Sepanyol pada September ini.
Menurut laporan media antarabangsa, stadium berkenaan dibangunkan dengan kerjasama Live Nation Spain dan akan menampung lebih 50,000 penonton setiap malam.
Sambutan luar biasa peminat memaksa penganjur menambah tiga malam baharu kepada jadual asal, menjadikan keseluruhan enam malam persembahan pada 18, 19, 20 serta 25, 26 dan 27 September 2026.
Venue khas berskala 4.2 ekar itu akan ditempatkan di kawasan Iberdrola Music, daerah Villaverde, dan dibangunkan sebagai sebuah “bandar sementara” yang menggabungkan muzik, seni, kulinari, ruang interaktif serta pameran bertema “Es Latina”.
Konsep tersebut menyamai pendekatan residensi Adele di Munich pada 2024, yang menggunakan venue sementara bagi memberikan kawalan penuh terhadap mutu audio dan visual persembahan.
Jelajah Las Mujeres Ya No Lloran sebelum ini mencipta sejarah sebagai jelajah dengan kutipan tertinggi oleh artis Latin, meraih lebih AS$421 juta menerusi 86 persembahan di seluruh dunia.
Persembahan di Madrid nanti juga menandakan kemunculan pertama Shakira di Sepanyol dalam tempoh lapan tahun, selepas kali terakhir muncul menerusi jelajah El Dorado pada 2018.