Skip to main content

Malaysia

‘Apa saja selepas ini terserah pada Tuanku, pucuk pimpinan parti’ - MB Aminuddin

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun -- astro AWANI
Aminuddin (foto) berkata beliau menyerahkan segala keputusan lanjut kepada kuasa Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir serta pucuk pimpinan parti. -Foto Astro AWANI

SEREMBAN: Kerajaan negeri minoriti di Negeri Sembilan yang ditadbir blok Pakatan Harapan (PH) ketika ini akan diteruskan sehingga satu masa yang sesuai.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata beliau menyerahkan sebarang keputusan lanjut berkaitan kedudukan kerajaan negeri kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir, serta pucuk pimpinan parti.

“Saya serahkan kepada perundangan (dan) kuasa Tuanku yang mana saya kalau tiba masa mereka kata kerajaan yang ada ini setakat ini, setakat ini sajalah.

“Namun, saya telah diminta oleh Presiden (Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk meneruskan pentadbiran sehingga satu masa yang sesuai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Wisma Negeri, hari ini.

Mesyuarat berkenaan dihadiri kesemua enam Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri daripada PH, selepas empat EXCO kerajaan negeri daripada UMNO mengosongkan jawatan susulan penarikan sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar sebelum ini.

Aminuddin berkata, ketiadaan empat EXCO itu tidak menjejaskan perjalanan pentadbiran kerajaan negeri dan pengisian kekosongan berkenaan berkemungkinan diselesaikan pada minggu hadapan.

“Ia tidak menimbulkan sebarang masalah untuk kita meneruskan program kerajaan. Kita juga mempunyai Program Hari Belia Peringkat Kebangsaan dan saya telah meminta semua EXCO yang ada untuk membantu menyelesaikannya,” katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata mesyuarat exco hari ini tidak membincangkan soal kekosongan jawatan berkenaan, sebaliknya hanya tertumpu kepada urusan pentadbiran kerajaan negeri.

Menurut beliau, sebelum mempengerusikan mesyuarat, beliau sempat menghadap Tuanku Muhriz dan baginda bertitah supaya mesyuarat diteruskan seperti biasa demi kepentingan rakyat.

Kemelut politik di Negeri Sembilan tercetus apabila Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Pertang, mengumumkan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional (BN)-UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan negeri dan Menteri Besar pada Isnin lalu.

Must Watch Video