LAGOS: Sebuah gaun unik yang diperbuat daripada lebih 500 buku roti mencuri perhatian ramai pada majlis anugerah filem terbesar Afrika, Africa Magic Viewers’ Choice Awards (AMVCA) yang berlangsung di Nigeria.
Busana luar biasa itu digayakan oleh bintang realiti televisyen, Queen Mercy Atang, yang tampil berani di karpet merah dengan rekaan dramatik sehingga memerlukan bantuan beberapa individu untuk membawanya.
Menurut beliau, gaun itu bukan sekadar untuk mencuri perhatian, sebaliknya bertujuan mempromosikan perniagaan bakerinya.
“Tiada tempat lebih sesuai untuk mempromosikan perniagaan saya selain di AMVCA,” katanya.
Rekaan tersebut dihasilkan oleh pereka fesyen terkenal, Toyin Lawani, yang menyifatkan konsep berkenaan sebagai trend baharu yang menggalakkan individu “memakai jenama sendiri”.
Penampilan itu segera menjadi tular di media sosial dan mencetuskan perdebatan.
Ada yang memuji kreativiti dan keberanian rekaan tersebut, namun tidak kurang juga yang mengkritiknya sebagai pembaziran makanan, dakwaan yang dinafikan oleh Atang.
AMVCA, yang diadakan di Lagos, merupakan antara acara paling berprestij dalam industri hiburan Afrika, menghimpunkan selebriti, pembikin filem dan penggiat seni dari seluruh benua.
Selain mengiktiraf pencapaian dalam filem dan televisyen, acara itu juga terkenal dengan persaingan gaya fesyen di karpet merah.
Tahun ini, pelbagai rekaan luar biasa dipamerkan, sekali lagi menonjolkan gabungan seni, budaya dan kreativiti dalam fesyen Afrika yang semakin mendapat perhatian global.