WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa, gencatan senjata yang telah berkuat kuasa selama sebulan antara AS dan Iran kini berada dalam keadaan “sangat rapuh” dan seolah-olah bergantung kepada sokongan hayat.
Bercakap kepada wartawan di Pejabat Oval pada Isnin, Trump berkata, meskipun gencatan senjata itu masih dipatuhi secara umum, keadaannya adalah “amat lemah dan membimbangkan.”
Kenyataan itu dibuat susulan tawaran balas yang dihantar Iran kepada Washington pada Ahad, yang memperincikan tuntutan Tehran untuk menamatkan perang dan membuka semula Selat Hormuz.
Namun Trump dengan segera menolak cadangan tersebut, menyifatkannya sebagai “langsung tidak boleh diterima” dan “sampah.”
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmail Baghaei, bagaimanapun mempertahankan tawaran negaranya, menyifatkan cadangan itu sebagai “bertanggungjawab” dan “bermurah hati.”
Menurut agensi berita separa rasmi Iran, Tasnim, tawaran Tehran merangkumi penamatan segera konflik di semua medan, merujuk kepada serangan Israel yang berterusan terhadap Hezbollah yang disokong Iran di Lubnan, selain penamatan sekatan laut AS ke atas pelabuhan Iran serta jaminan bahawa tiada serangan lanjut akan dilancarkan terhadap negara itu.
Cadangan tersebut turut dilaporkan merangkumi tuntutan pampasan kerosakan akibat peperangan serta penegasan kedaulatan Iran ke atas Selat Hormuz.
Trump, dalam kenyataan di platform media sosial Truth Social, sekali lagi mengkritik respons Iran dan menegaskan beliau tidak menerima cadangan berkenaan.
Baghaei sebagai reaksi balas memberi amaran bahawa Iran akan bertindak “dengan apa jua cara yang perlu” untuk melindungi kepentingan negaranya.
Trump kemudiannya mengulangi pendiriannya di Pejabat Oval, dengan mengibaratkan keadaan gencatan senjata itu seperti pesakit yang hanya mempunyai “satu peratus peluang untuk terus hidup.”
Beliau turut melabel kepimpinan Iran sebagai “tidak berprinsip”, sambil mendakwa Tehran sering mengubah pendirian dalam rundingan.
Trump juga menuduh Iran menarik diri daripada persetujuan yang membenarkan AS mengeluarkan bekalan uranium diperkaya dari negara itu, sambil menegaskan Iran “tidak akan pernah dibenarkan memiliki senjata nuklear.”
Bagaimanapun, sumber yang dipetik Tasnim menafikan dakwaan tersebut, menegaskan bahawa cadangan Iran tidak pernah merangkumi sebarang persetujuan untuk membawa keluar bahan nuklear diperkaya.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menegaskan bahawa simpanan uranium diperkaya Iran perlu “disingkirkan sepenuhnya” sebelum konflik boleh dianggap berakhir, sambil menyatakan masih terdapat tapak pengayaan yang perlu dimusnahkan.
Laporan portal berita AS, Axios, mendedahkan memorandum awal Washington setebal satu halaman yang mengandungi 14 perkara, termasuk penggantungan pengayaan nuklear Iran, pelonggaran sekatan dan pemulihan laluan bebas melalui Selat Hormuz, namun kebanyakan syarat itu bergantung kepada persetujuan muktamad kedua-dua pihak.
Iran setakat ini terus menyekat Selat Hormuz, laluan penting yang menjadi transit kira-kira 20 peratus bekalan minyak dan gas asli cecair dunia, sekali gus mencetuskan peningkatan harga minyak global.
Sekatan laut yang dikuatkuasakan AS ke atas pelabuhan Iran pula dilihat sebagai usaha memberi tekanan ke atas Tehran, namun langkah tersebut mencetuskan kemarahan kerajaan Iran.
Serangan udara berskala besar ke atas Iran oleh pasukan Israel dan AS bermula pada 28 Februari, sebelum gencatan senjata diumumkan bulan lalu. - Agensi