KUALA LUMPUR: Biro Antarabangsa PKR berharap dapat mewujudkan libat urus konstruktif dan hubungan antara rakyat yang lebih erat dengan Tamil Nadu, susulan pelantikan bintang filem yang kini menjadi ahli politik C. Joseph Vijay sebagai Ketua Menteri baharu negeri itu.
Pengerusi Biro Antarabangsa PKR, Maszlee Malik berkata, biro itu berhasrat memperkukuh kerjasama khususnya dalam bidang pendidikan, pemerkasaan belia, teknologi, budaya dan kerjasama serantau.
“Malaysia dan Tamil Nadu berkongsi hubungan sejarah dan budaya yang telah lama terjalin, khususnya menerusi komuniti India Malaysia dengan akar dan warisan mereka kekal berkait rapat dengan tamadun serta identiti Tamil,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Maszlee turut mengucapkan tahniah kepada Vijay sambil menyifatkan kemenangan itu mencerminkan aspirasi demokratik rakyat Tamil Nadu serta menandakan lembaran baharu kepimpinan yang berteraskan harapan, reformasi dan pemerkasaan rakyat biasa.
Beliau berkata, biro itu turut mengiktiraf kesedaran politik yang mendalam serta warisan ketamadunan yang kaya di Tamil Nadu, selain menyifatkan sumbangan negeri itu terhadap keadilan sosial dan pembangunan ekonomi sebagai inspirasi kepada rantau yang lebih luas.
“Kami percaya pengukuhan institusi demokrasi, tadbir urus inklusif dan dasar berteraskan rakyat kekal penting dalam mendepani cabaran semasa,” katanya.
Maszlee turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Vijay serta menzahirkan harapan agar Ketua Menteri itu dikurniakan kebijaksanaan dan kejayaan dalam berkhidmat kepada rakyat Tamil Nadu dengan penuh keadilan dan ihsan.
Vijay, 51, mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri baharu Tamil Nadu pada Ahad selepas mendapat sokongan daripada parti lain bagi memperoleh majoriti yang diperlukan di dewan perundangan negeri itu.
Parti Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK) pimpinan Vijay memenangi 108 kerusi dalam pilihan raya negeri April lepas, kurang 10 kerusi daripada 118 yang diperlukan untuk memperoleh majoriti mudah dalam dewan yang mempunyai 234 kerusi itu.
-- BERNAMA