SHAH ALAM: Ketua Penerangan Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berpandangan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) wajar bergerak secara berasingan pada pilihan raya akan datang selepas mendakwa hubungan kerjasama antara kedua-dua parti itu semakin sukar dipertahankan.
Menurutnya, kenyataan seorang pemimpin Bersatu di Melaka yang menyifatkan pihak yang mendakwa partinya tiada jentera sebagai ‘pekak’ menggambarkan bahawa sudah tiada harapan untuk mewujudkan kerjasama yang harmoni antara kedua-dua pihak.
“Bukanlah satu kesalahan jika sesebuah parti itu tidak mempunyai jentera, tambahan pula jika ia sebuah parti baharu. Namun, yang menjadi masalah ialah kegagalan untuk mengakui kelemahan dan kekerdilan tersebut.
“Apabila hakikat itu dinafikan, tindakan yang lahir nanti berasaskan keyakinan bahawa diri sentiasa kuat, walhal hakikat yang terpampang adalah sebaliknya.
“Tiada masalah jika kekurangan jentera diikuti usaha memperkukuh parti. Namun, jika bertahun-tahun selepas pilihan raya parti masih berantakan, itu bukan proses pemantapan.
"Sebaliknya, ia hanya proses mempersiapkan penyokong peribadi untuk menjadi calon dan kemudiannya menunggang kekuatan parti kawan,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas berkata, keadaan itu menyebabkan pihak berkenaan sering bertanding lebih banyak kerusi berbanding parti-parti lain dalam gabungan, namun gagal memperoleh kemenangan yang setara.
Menurutnya, keadaan tersebut berpunca daripada kajian dan bacaan politik yang tidak tepat.
Justeru katanya, jika melabel pihak yang menyatakan Bersatu tiada jentera sebagai ‘pekak’, tiada harapan lagi untuk mewujudkan sebuah kerjasama yang harmoni selepas ini.
“Apatah lagi tindakan demi tindakan Bersatu kebelakangan ini, termasuk dalam isu di Perlis dan Negeri Sembilan, menimbulkan kebimbangan sama ada selepas PRU16 nanti akan wujud pertimbangan untuk bergerak secara bersendirian dalam membentuk Kerajaan Persekutuan.
“Justeru, secara peribadi saya berpandangan jalan terbaik ialah bergerak secara berasingan. Kita kekal berkawan, cuma bukan di pentas pilihan raya.
“Anda boleh mencari rakan politik yang lebih jelas pendengaran, lebih terang penglihatan dan lebih kuat deria baunya. Selamat maju jaya,” katanya. -- Sinar Harian