Skip to main content

Malaysia

Ops Hazard: Polis tumpas sindiket e-waste, libat rampasan RM1.25 juta

71718803228_LogoPDRM.jpg
Polis menumpaskan sindiket memproses sisa elektronik (e-waste) secara haram melibatkan rampasan dianggar bernilai RM1.25 juta dalam dua serbuan menerusi Ops Hazard di Selangor, pada Khamis.

KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket memproses sisa elektronik (e-waste) secara haram melibatkan rampasan dianggar bernilai RM1.25 juta dalam dua serbuan menerusi Ops Hazard di Selangor, pada Khamis.

Operasi khas itu dijalankan serentak oleh pasukan Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sepang.

Komander WCB/PSK JKDNKA Bukit Aman, SAC Datuk Mohd Zaki Ashar berkata, sebanyak 25 warga asing terdiri daripada 24 lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 19 hingga 50 tahun turut ditahan dalam operasi itu.

"Hasil serbuan, polis menyita kira-kira 347,000 kilogram sisa e-waste yang dileraikan selain pelbagai peralatan memproses termasuk lima kompresor, dua mesin cucian pengasingan, dua ketuhar, sistem kawalan pencemaran udara dan cerobong asap.

"Siasatan awal mendapati premis-premis berkenaan aktif menjalankan aktiviti meleraikan sisa elektronik tanpa mengikut spesifikasi ditetapkan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mohd Zaki berkata, kesemua tangkapan serta rampasan disiasat mengikut Seksyen 18 dan Seksyen 19 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, manakala premis terbabit turut dikenakan penahanan operasi selama 14 hari di bawah Seksyen 38(1)(a) akta sama.

Beliau berkata, Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) turut mengeluarkan kompaun bernilai RM1,000 dan Notis Pemberhentian Perniagaan mengikut Seksyen 3 Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MPKL 2007 kerana beroperasi tanpa lesen sah.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, bagi tempoh 1 Jan hingga hari ini, WCB/PSK telah melancarkan sebanyak 158 serbuan di seluruh negara dengan tangkapan terhadap 335 individu melibatkan pelbagai kesalahan jenayah keselamatan dan alam sekitar.

“Tangkapan itu membabitkan penyeludupan barangan tidak berkastam, ketirisan barangan kawalan dan bersubsidi, penjualan senjata tiruan, penyeludupan hidupan liar serta operasi e-waste haram,” katanya.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement