LOS ANGELES: Pelakon Sepanyol, Javier Bardem mencuri perhatian pada Anugerah Akademi ke-98 apabila menggunakan pentas global majlis itu untuk menyampaikan mesej anti-perang serta solidariti terhadap rakyat Palestin.
Bardem yang tampil sebagai penyampai anugerah bersama pelakon Priyanka Chopra, menyuarakan mesej ringkas ketika berada di atas pentas dengan berkata “No to War and Free Palestine.”
Mesej yang disampaikan aktor berkenaan disambut tepukan daripada seluruh karyawan fiilem yang berhimpin di Dolby Theatre, Hollywood, di sini.
Selain ucapan tersebut, Bardem turut memakai dua pin simbolik pada tuksedonya, termasuk lencana bertulis “No a la Guerra” (tidak kepada perang) serta simbol yang dikaitkan dengan solidariti terhadap Palestin.
Pelakon pemenang Oscar itu kemudian meneruskan tugasnya untuk menyampaikan anugerah Filem Antarabangsa Terbaik pada majlis pengiktirafan filem global itu.
Segmen tersebut menjadi antara detik yang paling banyak diperkatakan pada malam Oscars tahun ini, apabila beberapa selebriti turut menggunakan pentas majlis anugerah itu untuk menyuarakan pandangan mengenai isu global dan konflik semasa.