PENYANYI terkenal antarabangsa, Celine Dion kembali ke pentas selepas empat tahun berehat akibat penyakit Stiff Person Syndrome (SPS), satu keadaan neurologi yang menyebabkan kekejangan otot, menjejaskan suara dan pergerakannya.
Pada hari ulang tahunnya yang ke-58, Dion mengumumkan beliau akan membuat persembahan residensi selama 10 malam di Paris La Defense Arena pada September dan Oktober depan.
Dion menyifatkan pengumuman itu sebagai “hadiah terbaik” dalam hidupnya dan berkata, beliau kini berasa lebih kuat, teruja serta sedikit gementar.
Dalam masa sama, beliau berterima kasih kepada para peminat kerana doa dan sokongan mereka sepanjang tempoh sukar tersebut.
Permintaan tiket dijangka luar biasa
Dion lanmgsung tidak membuat persembahan langsung sejak Mac 2020.
Konsert jelajah COURAGE terpaksa dihentikan akibat pandemik COVID-19, sebelum beliau disahkan menghidap SPS yang memaksanya membatalkan semua persembahan masa depan.
Untuk menjaga kesihatannya, tarikh konsert baharunya disusun dengan jarak beberapa hari antara setiap malam.
Tiket-tiket akan mula dijual pada 7 April dan peminat boleh mendaftar awal di laman rasminya.
Peminat di Paris mula menyedari poster lirik lagu Dion muncul di sekitar bandar.
Pada malam Isnin, Menara Eiffel turut memaparkan mesej “Paris, je suis prête” (Paris, saya sudah bersedia) diikuti dengan lagu-lagu popularnya.
Perjuangan Celine dengan Stiff Person Syndrome
Dion mendedahkan diagnosis SPS pada Disember 2022.
Penyakit ini jarang berlaku (anggaran 8,000 kes seluruh dunia) dan tidak mempunyai penawar.
Ia menyebabkan kekejangan otot yang boleh menjejaskan pertuturan, pernafasan dan pergerakan.
Penghibur itu mula menyedari simptom ketika suaranya menjadi lemah semasa jelajah — kekejangan kecil yang kemudian semakin teruk sehingga menyukarkan beliau berjalan atau menyanyi seperti biasa.
Namun, Dion enggan menyerah. Dia menjalani rawatan intensif selama lima hari seminggu selain terapi vokal dan fizikal dan latihan seluruh badan seperti atlet profesional
Usaha ini membuahkan hasil: Dion membuat kemunculan mengejut yang sangat emosional ketika Sukan Olimpik Paris 2024, menyanyikan “Hymne à l’Amour” dari Menara Eiffel.
Dion mengakui Paris mempunyai tempat istimewa di hatinya dan berkata kota itu membuatnya “lebih menyayangi segalanya.” - Agensi