BAMAKO (MALI): Presiden Senegal Bassirou Diomaye Faye pada Jumaat memecat Perdana Menteri Ousmane Sonko dan membubarkan kerajaan, lapor Anadolu Ajansi memetik penyiar tempatan.
“Alhamdoulillah (Segala puji bagi Allah). Malam ini, saya akan tidur dengan hati yang lapang di bandar Keur Gorgui,” tulis Sonko di platform rasmi selepas pengumuman itu.
Tiada alasan rasmi diberikan berhubung pemecatan itu.
Keputusan itu dibuat selepas ketegangan selama beberapa bulan antara Faye dan Sonko, yang sebelum ini merupakan sekutu politik rapat dalam PASTEF (Patriot Afrika Senegal bagi Kerja, Etika dan Persaudaraan), parti pemerintah yang berkuasa pada 2024.
Hubungan mereka dilaporkan semakin merosot susulan pertikaian mengenai kawalan parti, tadbir urus dan dasar ekonomi.
Faye akhirnya menggunakan kuasa perlembagaannya untuk menyingkirkan Sonko, dengan alasan keperluan memelihara kestabilan negara, menurut maklumat yang tersedia.
Sonko dilantik sebagai perdana menteri pada 2 April 2024, beberapa jam selepas Faye mengangkat sumpah sebagai presiden.
Kedua-dua pemimpin itu pernah dilihat sebagai gandingan politik mentor dan anak didik, namun hubungan mereka renggang apabila persaingan dalam gerakan pemerintah semakin mendalam.
-- BERNAMA-ANADOLU