KUANTAN: Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 1 terus menjadi lokasi pilihan warga tempatan dan pengunjung luar untuk berbuka puasa setiap kali Ramadan.
Kawasan lapang itu menjadi tarikan bukan sahaja kerana kedudukannya di tengah bandar tetapi bazar Ramadan dan Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1 yang terletak bersebelahan, menjadikannya lokasi unik berbanding tempat lain.
Bayangkan beratus orang duduk di atas rumput beralaskan tikar, masing-masing dengan juadah berbeza, namun berkongsi satu perasaan yang sama iaitu menunggu azan Maghrib.
Pengunjung dari Dungun, Terengganu, Muhammad Amir Hidayat Busmam, 33, mengakui sanggup menempuh perjalanan lebih satu jam dengan jarak lebih 100 kilometer (km) semata-mata untuk menikmati suasana iftar di padang tersebut.
Menurutnya, berbuka di situ menjadi pengisian dalam menghidupkan syiar Ramadan dalam suasana santai dan dapat mengeratkan silaturahim.
“Sebab utama saya pilih tempat ini adalah kerana akses mudah ke masjid dan kali pertama saya jejak kaki ke sini.
"Kami bukan sahaja dapat iftar beramai-ramai tapi berpeluang menunaikan solat Maghrib, Isyak dan tarawih secara berjemaah tanpa perlu tergesa-gesa.
"Malah, saya turut menempah hotel berdekatan bagi memudahkan urusan bersahur pada keesokan pagi,” katanya kepada Sinar Harian.
Bagi Shahril Muhammad Nor, 43, berbuka puasa di sini menjadi rutin keluarganya setiap tahun.
Bapa kepada tiga anak itu sanggup memandu kira-kira 50km dari Kemaman bersama isteri dan tiga anaknya.
“Anak-anak lebih santai di sini. Walaupun boleh berbuka di rumah, suasana orang ramai dan kedudukan masjid yang berhampiran membuatkan kami sanggup datang dari jauh,” ujarnya.
Sementara itu Fakhri Aiman Abdullah, 22, berkata, Padang MBK 1 merupakan lokasi iftar yang lengkap dan mesra pengunjung.
Menurutnya, tempat itu sudah menjadi titik pertemuan warga Kuantan dan pengunjung luar yang gemar berbuka di lokasi terbuka bersama keluarga serta rakan-rakan.
"Lokasi ini ada tarikan yang sukar ditemui di tempat lain.
“Jadi, saya memang wajib datang ke sini dan biasanya hadir lima hingga enam kali sepanjang sebulan berpuasa," ujarnya. - Sinar Harian