Skip to main content

Teknologi

Yuran lesen H.264 dilapor melonjak, platform penstriman berdepan kos jutaan dolar

amanz.my
Kenaikan itu melibatkan pengenalan struktur bayaran bertingkat berdasarkan jumlah pengguna platform, menggantikan pendekatan kadar tahunan yang lebih rendah sebelum ini bagi sesetengah kategori lesen. -Foto Amanz

SAN FRANCISCO: Via Licensing Alliance (Via) dilapor menaikkan yuran lesen bagi penggunaan codec video popular Advanced Video Coding (AVC) atau H.264 bermula tahun ini, dengan kadar maksimum dilapor mencecah AS$4.5 juta (kira-kira RM18.1 juta) setahun bagi platform berskala besar, lapor Amanz.

Menurut laporan industri, kenaikan itu melibatkan pengenalan struktur bayaran bertingkat berdasarkan jumlah pengguna platform, menggantikan pendekatan kadar tahunan yang lebih rendah sebelum ini bagi sesetengah kategori lesen.

Struktur baharu berkenaan menyasarkan platform berskala besar termasuk perkhidmatan penstriman OTT dengan lebih 100 juta pelanggan, platform media sosial yang mencatat lebih satu bilion pengguna aktif bulanan, serta perkhidmatan televisyen satelit dan kabel.

Bagaimanapun, pelan bayaran itu dilaporkan hanya terpakai kepada platform yang belum memiliki lesen H.264, manakala pemegang lesen sedia ada kekal di bawah struktur bayaran lama.

Bagi platform kecil dengan kurang daripada 100,000 pelanggan, yuran tahunan dilaporkan masih dikekalkan pada kadar AS$100,000 (kira-kira RM403,300).

Penganalisis industri berpandangan langkah itu berpotensi memberi kesan besar kepada pengeluar komputer dan pembangun perisian suntingan video, yang mungkin memilih untuk menggugurkan sokongan pengekodan H.264 bagi mengelakkan bayaran royalti tinggi.

Situasi serupa pernah berlaku sebelum ini apabila penjualan beberapa model komputer keluaran Acer dan ASUS di Jerman terjejas susulan tindakan undang-undang berkaitan tuntutan paten codec H.265 oleh Nokia.

Menurut penganalisis, kenaikan kos lesen itu juga berkemungkinan mempercepatkan peralihan industri kepada penggunaan codec sumber terbuka seperti AV1 dan VP9, yang kini digunakan secara meluas oleh platform utama termasuk YouTube dan Netflix, walaupun H.264 masih menjadi tulang belakang sokongan penstriman video global buat masa ini.

Must Watch Video